Skip to main content

Dunia

Laporan polis dibuat ibu bapa kanak-kanak Indonesia yang alami keracunan akibat skim makanan percuma

Satu laporan polis difailkan oleh 60 ibu bapa kanak-kanak yang jatuh sakit selepas mengambil makanan percuma yang dibiayai pemerintah Indonesia, kata seorang ibu yang mewakili para pengadu pada Jumaat (11 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Laporan polis dibuat ibu bapa kanak-kanak Indonesia yang alami keracunan akibat skim makanan percuma

Para pelajar berehat sambil menerima rawatan akibat keracunan makanan di hospital awam selepas mengambil makanan percuma sekolah tajaan pemerintah di Pati, Jawa Tengah, Indonesia, pada 9 September 2026. (Gambar: REUTERS/Ragil Kuswanto)

Diterbitkan : 11 Sep 2026 05:11PM
  • Seramai 60 ibu bapa memfailkan laporan polis terhadap Badan Gizi Nasional Indonesia selepas anak-anak mereka jatuh sakit akibat makanan percuma kerajaan.
  • Kejadian berlaku di Kabupaten Karo, Sumatra Utara pada pertengahan Ogos, melibatkan sekurang-kurangnya 300 pelajar dan beberapa dimasukkan ke hospital.
  • Laporan menuntut siasatan kecuaian, pampasan kewangan, dan tindakan jenayah, mencerminkan keraguan terhadap pengurusan serta keberkesanan program makanan percuma nasional.
  • Program yang merupakan janji utama Presiden Prabowo Subianto kini berdepan dakwaan salah urus, rasuah, dan pemotongan bajet, dengan siasatan forensik makanan sedang dijalankan.
Dijana oleh AI
JAKARTA: Satu laporan polis difailkan oleh 60 ibu bapa kanak-kanak yang jatuh sakit selepas mengambil makanan percuma yang dibiayai pemerintah Indonesia, kata seorang ibu yang mewakili para pengadu pada Jumaat (11 Sep). Ia merupakan tindakan undang-undang pertama terhadap program utama Presiden Prabowo Subianto itu.

Desakan supaya tindakan jenayah diambil terhadap Badan Gizi Nasional (BGN) Indonesia merupakan tamparan terbaharu kepada program yang sudah berdepan dakwaan salah urus, rasuah dan lebih 50,000 kes keracunan makanan.

Laporan yang difailkan pada 31 Ogos tetapi dikongsi dengan media pada Khamis itu turut mencerminkan keraguan yang semakin meningkat berhubung daya maju dari segi kewangan dan logistik untuk menyediakan makanan percuma kepada 83 juta pelajar sekolah dan ibu hamil di seluruh Indonesia.

Sekurang-kurangnya 300 pelajar di beberapa sekolah menengah di Kabupaten Karo, Sumatra Utara, jatuh sakit, dengan sebahagian daripada mereka dimasukkan ke hospital, selepas mengambil makanan percuma itu pada pertengahan Ogos, kata ibu yang membuat laporan tersebut, Fitri Sijabat, kepada Reuters.

Laporan tersebut ditujukan terhadap badan yang menyelia program berkenaan, selain dapur yang menyediakan makanan dan sekolah yang mengagihkannya, kata peguam para ibu bapa berkenaan, Aslia Sijabat.

Beliau memberitahu Reuters bahawa tiada individu tertentu dinamakan dan tiada peruntukan jenayah khusus dinyatakan dalam laporan tersebut.

Laporan itu menggesa agar siasatan dijalankan terhadap kecuaian yang dipercayai berlaku, selain mengenal pasti para suspek. Ia juga menggesa agar pertuduhan jenayah dirangka dan pakej pampasan kewangan disediakan, kata Encik Aslia.

"Tiada suspek dinamakan dalam kejadian serupa di daerah lain, yang menyebabkan mereka merasakan seolah-olah boleh terlepas daripada tindakan undang-undang," kata Encik Aslia.

Polis dan Badan Gizi Nasional (BGN) tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mengulas.

Para ibu bapa itu juga sedang menyiapkan saman berasingan terhadap pemerintah dan merancang untuk memfailkannya di sebuah mahkamah negeri tidak lama lagi, kata Encik Aslia, tanpa memberikan tarikh tepat.

Akhbar tempatan The Jakarta Post memetik jurucakap Polis Karo, Pedoman Maha, sebagai berkata para penyiasat sedang menunggu keputusan ujian forensik terhadap sampel makanan yang dijalankan makmal forensik Polis Sumatra Utara.

Mereka turut menyoal para pelajar, guru dan seorang pakar pemakanan sebagai sebahagian daripada siasatan, tambah beliau.

'HENTIKAN PROGRAM'

Kes di Karo merupakan antara banyak kejadian keracunan makanan besar-besaran yang dilaporkan di seluruh Indonesia sejak beberapa minggu lalu.

Minggu lalu sahaja, lebih 2,000 orang di beberapa wilayah jatuh sakit selepas mengambil makanan percuma.

Anak perempuan Cik Fitri, Agnes, 17 tahun, terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selepas mengambil makanan tersebut. Remaja itu dibenarkan pulang pada keesokan harinya tetapi dimasukkan semula ke hospital beberapa hari kemudian selepas mengalami loya, kegatalan dan rasa kebas. Dalam tempoh sebulan sejak mengambil makanan percuma itu, Agnes dimasukkan ke hospital sebanyak empat kali, kata Cik Fitri.

"Harapan saya, (mereka) hentikan sahaja program ini. Mengapa membazirkan belanjawan negara jika anak-anak kami akhirnya mengalami keadaan seperti ini," tambah beliau.

Inisiatif tersebut merupakan antara janji utama kempen Encik Prabowo dan merupakan program sosial paling mahal yang dilaksanakan ekonomi G20 itu, dengan peruntukan terbaharunya sebanyak 229 trilion rupiah (S$16.48 bilion).

Namun, peruntukan program tersebut sudah dipotong dan dua ketua programnya juga sudah digantikan. Seorang daripada mereka kini berada dalam tahanan polis dan berdepan pertuduhan rasuah.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita