Skip to main content

Dunia

Laporan muktamad nahas Jeju Air ditangguh; keluarga mangsa pertikai kredibiliti siasatan

Anggaran Waktu Membaca:
Laporan muktamad nahas Jeju Air ditangguh; keluarga mangsa pertikai kredibiliti siasatan
Ryu Kum-ji, 42 tahun, yang kehilangan ibu bapanya dalam nahas pesawat Jeju Air, mengadakan bantahan berhampiran Pejabat Presiden di Seoul, Korea Selatan, pada 25 Disember 2025. (Gambar: Reuters/Sebin Choi)
 
SEOUL: Siasatan Korea Selatan terhadap nahas pesawat Jeju Air yang mengorbankan 179 nyawa dijangka gagal menepati tarikh akhir yang ditetapkan untuk mengeluarkan laporan muktamad, menurut dua orang pegawai.

Ini sedang ahli keluarga mangsa yang kecewa terus menuntut jawapan mengenai punca nahas.

Lembaga siasatan kemalangan negara itu tidak dalam kedudukan untuk mengeluarkan sebarang kemas kini sekalipun bersifat sementara menjelang ulang tahun pertama pada Isnin (29 Dis) bagi nahas pesawat paling dahsyat di Korea Selatan, kata dua pegawai lembaga tersebut.

Mereka tidak mahu identiti mereka didedahkan disebabkan oleh sensitivi perkara itu.
KELUARGA MANGSA KECEWA

Sebahagian ahli keluarga berkata bahawa para penyiasat kelihatan menyalahkan juruterbang tanpa menyiasat faktor lain, seperti struktur konkrit di hujung landasan yang dipercayai menjadikan tragedi itu jauh lebih dahsyat.

“Saya rasa semua persoalan semakin bertambah besar. Sementara itu, setahun telah berlalu dan kekecewaan ini hanya semakin bertambah
,” kata Ryu Kum-ji, 42 tahun, yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya dalam nahas tersebut.

Beliau menyertai ahli keluarga lain yang mencukur rambut dan mengadakan bantahan di hadapan pejabat presiden, menuntut siasatan yang bebas dan telus.

Kesilapan oleh Kementerian Pengangkutan, yang menyelia lembaga siasatan itu, juga mungkin menjadi faktor dalam kemalangan itu, kata Ryu.

Seorang pegawai Kementerian Pengangkutan memberitahu keluarga mangsa bulan ini bahawa pihaknya akan meneliti keprihatinan mereka.

“Kami memandang serius terhadap keprihatinan anda yang menyatakan usaha pemerintah tidak mencukupi dalam proses mencari kebenaran,” kata timbalan menteri kedua kementerian pengangkutan.

“Pemerintah akan berdiri teguh dengan keluarga mangsa dan meneliti perkara ini dengan lebih mendalam.”

Parlimen Korea Selatan akan melancarkan siasatan bebas terhadap nahas itu pada Selasa depan (30 Dis).

LAPORAN DITANGGUHKAN

Di bawah peraturan badan penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), laporan muktamad dijangka dikeluarkan dalam tempoh setahun selepas sesuatu kemalangan, dan jika tidak dapat berbuat demikian, laporan sementara hendaklah didedahkan kepada umum pada setiap ulang tahun yang memperincikan kemajuan hasil siasatan dan sebarang isu keselamatan yang dibangkitkan.

Sungguhpun demikian, lembaga tersebut tidak merancang untuk mengeluarkan kemas kini buat masa ini berikutan undang-undang yang masih menunggu kelulusan dan bertujuan untuk memastikan kebebasannya, kata kedua-dua pegawai tersebut.

Para Ahli Parlimen telah mencadangkan anggota lembaga tersebut digantikan dan memindahkan penyeliaannya daripada Kementerian Pengangkutan kepada Pejabat Perdana Menteri.

“Kami akan menghormati keputusan jawatankuasa baharu mengenai masa penerbitan kenyataan sementara itu,” kata salah seorang pegawai lembaga itu.

Badan pencegah rasuah Korea Selatan mendapati dalam satu laporan minggu ini bahawa benteng konkrit di Lapangan Terbang Muan melanggar piawai tempatan dan antarabangsa yang menetapkan struktur sedemikian perlu bersifat “mudah pecah” sekiranya berlaku kemalangan.

Keadaan itu bermakna ia boleh “menyebabkan kerosakan pesawat dan membawa maut kepada penumpangnya”.

Lembaga tersebut pada asalnya merancang untuk mengadakan perbiacaraan awam pada awal Disember, namun menangguhkannya atas permintaan keluarga mangsa dan Ahli Parlimen.

Polis juga sedang menyiasat nahas itu.

“Apa yang kami mahukan hanyalah untuk pihak berkuasa mengakui kesilapan jika mereka bersalah, dan memohon maaf. Permohonan maaf dan pendedahan yang sewajarnya … itulah yang kami inginkan,” kata Ryu. 
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita