Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Laporan: Kementerian Indonesia larang pemohon kerja hamil, LGBT

 Beberapa kementerian Indonesia mengharamkan pencari kerja yang hamil, kurang upaya atau LGBT kerana memihak kepada apa yang dipanggil pemohon 'normal'. Ini menurut Ombudsman atau pihak yang mewakili kepentingan awam mengenai perkara tersebut pada Jumaat (22 Nov). 

Anggaran Waktu Membaca:
Laporan: Kementerian Indonesia larang pemohon kerja hamil, LGBT

Indonesia menyaksikan kelonjakan dalam diskriminasi terhadap golongan gay dan transgender sejak beberapa tahun kebelakangan ini. (Gambar: Sandika Fadilah Rusdani/AFP)

Diterbitkan : 22 Nov 2019 10:47PM Dikemas Kini : 22 Nov 2019 10:48PM

JAKARTA: Beberapa kementerian Indonesia mengharamkan pencari kerja yang hamil, kurang upaya atau LGBT kerana memihak kepada apa yang dipanggil pemohon 'normal'. Ini menurut Ombudsman atau pihak yang mewakili kepentingan awam mengenai perkara tersebut pada Jumaat (22 Nov). Langkah itu diselar sebagai "sekatan sewenang-wenang dan kebencian" oleh kumpulan hak asasi.

Laporan tersebut dikeluarkan sedang negara dengan majoriti penduduknya beragama Islam mengambil permohonan daripada jutaan calon yang memohon bagi kira-kira 200,000 pekerjaan perkhidmatan awam seluruh negara.

Indonesia, yang mempunyai 260 juta penduduk, menyaksikan lonjakan dalam kes melibatkan diskriminasi terhadap golongan gay dan pondan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sementara itu, prasangka dan diskriminasi terhadap satu-satu jantina juga kian meluas di tempat kerja.

Pada Jumaat, pesuruhjaya Ombudsman Indonesia Ninik Rahayu berkata satu siasatan mendapati bahawa kementerian pertahanan dan perdagangan serta Pejabat Peguam Negara (AGO) menunjukkan diskriminasi terhadap para calon dalam iklan kerja mereka.

"Kementerian Pertahanan melarang wanita hamil daripada memohon kerja manakala AGO dan kementerian perdagangan mengharamkan 'mak nyah'," kata Cik Ninik.

"(AGO) malah membuat kenyataan mengguriskan yang menyatakan "kami hanya terima orang biasa'," tambah beliau.

"Melarang orang daripada memohon pekerjaan hanya kerana mereka transgender tidak boleh diterima dan mencabuli hak asasi manusia," ujarnya lagi.

Ombudsman menggesa kementerian-kementerian itu untuk menarik balik dasar pengambilan pekerja mereka namun hanya kementerian perdagangan yang sudahpun menurut permintaan itu, kata Cik Ninik, sambil menambah bahawa pejabatnya pertama kali menyedari diskriminasi tersebut tahun ini.

Pada Khamis (21 Nov), seorang jurucakap AGO memberitahu wartawan bahawa institusi itu melarang pemohon gay dan transgender kerana memihak kepada calon "normal".

Di laman AGO, ia menyatakan pemohon kerja mesti tidak buta warna, kurang upaya secara fizikal atau "mental" termasuk mereka yang mempunyai "gangguan orientasi seksual" (transgender) atau LGBT".

Larangan tersebut menjurus kepada "dasar berasaskan kebencian", kata pengarah eksekutif Amnesti Antarabangsa Indonesia Usman Hamid.

"Indonesia seharusnya cuba untuk mengambil calon yang terbaik ke dalam perkhidmatan awamnya, bukan mengenakan sekatan sewenang-wenang dan kebencian," kata beliau yang menggesa kementerian-kementerian terlibat supaya melucutkan peraturan tersebut.

"Ini melanggar kedua-dua perlembagaan Indonesia dan tanggungjawabnya di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa," tambah beliau.  

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan