Laporan IAEA dedah aktiviti nuklear rahsia Iran pada masa lalu
Iran menjalankan aktiviti nuklear secara rahsia menggunakan bahan yang tidak diisytiharkan kepada pengawas nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di tiga lokasi yang telah lama disiasat, menurut laporan sulit dan menyeluruh kepada negara anggota yang dilihat oleh Reuters.
Makmal Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Seibersdorf, Austria, pada 26 Mei 2025. (Gambar: REUTERS/Leonhard Foeger)
Dapatan dalam laporan "menyeluruh" Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang diminta oleh Lembaga Gabenor agensi berkenaan, yang dianggotai 35 negara, pada November membuka jalan kepada usaha Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Jerman untuk mendesak lembaga itu mengisytiharkan bahawa Iran sudah melanggar perjanjian untuk tidak menyebarkan senjata nuklear.
Ketetapan sedemikian dijangka membangkitkan kemarahan Iran dan boleh menambah kerumitan rundingan nuklear antara Tehran dengan Washington.
Berdasarkan dapatan laporan IAEA itu, keempat-empat kuasa Barat merancang untuk mengemukakan draf ketetapan untuk diluluskan oleh lembaga tersebut dalam mesyuarat seterusnya dalam minggu bermula 9 Jun, menurut para diplomat. Ini bakal menjadi kali pertama dalam hampir 20 tahun Iran secara rasmi didapati melanggar peraturan.
Kementerian Luar dan agensi nuklear Iran menolak laporan itu dan menyifatkannya sebagai “bermotifkan politik” dalam satu kenyataan bersama. Mereka berkata Tehran akan mengambil “langkah sewajarnya” sebagai tindak balas terhadap sebarang usaha untuk mengambil tindakan ke atas negara itu pada mesyuarat Lembaga Gabenor, menurut laporan media rasmi, tanpa ulasan lanjut.
Tehran menyatakan pihaknya mahu menguasai teknologi nuklear bagi tujuan keamanan dan sekian lama menafikan dakwaan kuasa Barat bahawa Iran sedang berusaha untuk membangunkan senjata nuklear.
Walaupun kebanyakan dapatan berkait dengan aktiviti yang berlaku sejak beberapa dekad lalu dan pernah didedahkan sebelum ini, kesimpulan laporan IAEA kali ini adalah lebih muktamad. Ia merumuskan perkembangan beberapa tahun kebelakangan ini dan dengan lebih jelas menunjukkan aktiviti rahsia yang diselaraskan, sebahagiannya berkaitan dengan penghasilan senjata nuklear.
Laporan itu turut menyatakan bahawa kerjasama Iran dengan IAEA terus berada pada tahap “kurang memuaskan” dalam “beberapa aspek”. IAEA masih menantikan penjelasan tentang kesan uranium yang dikesan beberapa tahun lalu di dua daripada empat tapak yang disiasat. Tiga daripada tapak tersebut didapati pernah digunakan untuk eksperimen rahsia.
IAEA merumuskan bahawa “ketiga-tiga lokasi ini, serta beberapa lokasi berkaitan lain yang mungkin wujud, adalah sebahagian daripada program nuklear tersusun yang tidak diisytiharkan dan dijalankan Iran sehingga awal 2000-an, dan bahawa beberapa aktiviti menggunakan bahan nuklear yang tidak diisytiharkan,” menurut laporan itu.
Bahan nuklear dan/atau peralatan yang tercemar teruk daripada program itu disimpan di tapak keempat, Turquzabad, antara 2009 dan 2018, berdasarkan laporan tersebut.
“Agensi ini merumuskan bahawa Iran tidak mengisytiharkan bahan nuklear dan aktiviti berkaitan nuklear di tiga lokasi tidak diisytiharkan di Iran, iaitu Lavisan-Shian, Varamin dan Turquzabad,” menurut laporan itu.
Di Lavisan-Shian di Tehran, satu cakera yang diperbuat daripada logam uranium telah “digunakan dalam penghasilan sumber neutron berpacu letupan” sekurang-kurangnya dua kali pada 2003, satu proses yang direka untuk mencetuskan letupan dalam senjata nuklear, menurut laporan itu, sambil menambah bahawa ia adalah sebahagian daripada ujian berskala kecil.
Laporan itu berkemungkinan akan menyebabkan Iran dirujuk kepada Majlis Keselamatan PBB, walaupun langkah tersebut berkemungkinan berlaku pada mesyuarat lembaga IAEA yang akan datang, kata para diplomat.
Dalam masa terdekat, ia dijangka mendorong Iran sekali lagi untuk mempercepat atau mengembangkan program nuklearnya yang semakin maju, seperti yang berlaku menyusuli teguran-teguran terdahulu oleh lembaga berkenaan. Ia juga boleh menambah kerumitan dalam rundingan Iran dengan Amerika Syarikat bagi mengawal program tersebut.
PENGAYAAN URANIUM
Satu lagi laporan IAEA berasingan yang dihantar kepada negara anggota pada Sabtu (31 Mei) menyatakan bahawa stok uranium Iran yang diperkaya sehingga 60 peratus ketulenan, hampir kepada sekitar 90 peratus bagi kegunaan senjata, telah meningkat kira-kira separuh kepada 408.6 kg. Menurut piawaian IAEA, jumlah itu mencukupi, jika diperkaya lebih lanjut, untuk menghasilkan sembilan senjata nuklear.
Kedua-dua laporan IAEA menyatakan bahawa pengayaan pada tahap setinggi itu merupakan “satu kebimbangan serius” memandangkan Iran adalah satu-satunya negara yang melakukan sedemikian tanpa menghasilkan senjata nuklear.
Israel, yang sekian lama menggesa tindakan tegas terhadap program nuklear Iran, menyatakan bahawa laporan IAEA menunjukkan azam Tehran untuk menyiapkan program senjata nuklearnya. Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata dunia perlu bertindak sekarang untuk menghalang Iran daripada melaksanakannya.
Agensi perisikan Amerika Syarikat dan IAEA sejak sekian lama percaya bahawa Iran pernah menjalankan program senjata nuklear secara rahsia dan tersusun yang dihentikan pada 2003. Iran menafikan pernah memiliki program sedemikian.
Dalam perkembangan berasingan pada Sabtu, Menteri Luar Abbas Araqchi berkata rakan sejawatannya dari Oman telah membentangkan beberapa elemen cadangan Amerika Syarikat bagi satu perjanjian nuklear antara Tehran dan Washington semasa lawatan singkatnya ke Tehran.
Encik Araqchi berkata dalam satu catatan di platform X bahawa Iran “akan memberi respons terhadap cadangan Amerika Syarikat selaras dengan prinsip, kepentingan negara dan hak rakyat Iran”.
Kenyataan beliau dikeluarkan menjelang pusingan keenam rundingan antara Washington dan Tehran yang dijangka berlangsung. Tarikh dan lokasi rundingan itu belum diumumkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.