Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS lapor kes pertama cacar monyet dalam kalangan kanak-kanak

Anggaran Waktu Membaca:
AS lapor kes pertama cacar monyet dalam kalangan kanak-kanak

Vesikel cacar monyet di tangan seorang individu yang dijangkiti penyakit itu. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 23 Jul 2022 08:48AM Dikemas Kini : 23 Jul 2022 08:49AM

REUTERS: Kes-kes jangkitan cacar monyet dikesan dalam kalangan kanak-kanak, buat pertama kali, di Amerika Syarikat (AS) - seorang kanak-kanak di California dan seorang bayi yang bukan penduduk AS. 

Demikian menurut pihak berkuasa kesihatan pada Jumaat (22 Jul). 

Dua kes tersebut tidak berhubung kait dan berkemungkinan disebabkan penularan dalam kalangan keluarga, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS dalam kenyataannya. 

Agensi tersebut turut menyatakan bahawa kanak-kanak itu dalam keadaan yang baik dan sedang menerima rawatan. 

Cacar monyet, iaitu penyakit virus yang menyebabkan gejala seakan-akan demam selesema dan luka pada kulit, merebak dengan pantas di luar negara Afrika barat dan tengah di mana ia merupakan endemik. Penyakit itu menular menerusi kontak rapat. 

Sejauh ini, terdapat lebih 14,000 kes cacar monyet yang dilaporkan di lebih 60 negara, dan lima kematian di Afrika. 

Semasa panggilan mesyuarat, Timbalan Pengarah Jabatan CDC bagi Patogen dan Patologi Kesan Tinggi Dr Jennifer McQuiston berkata, ia bukan sesuatu yang mengejutkan bahawa kes pediatrik cacar monyet sudah muncul. 

Penyelaras Respons COVID-19 di Rumah Putih Dr Ashish Jha, semasa panggilan yang sama, berkata pemerintah sudah mendapatkan 300,000 dos vaksin cacar monyet dan sedang berusaha untuk mempercepat penghantaran dari Denmark bagi tambahan 786,000 dos. 

Beliau berkata, vaksin yang ada mencukupi untuk memberikan suntikan dos pertama kepada lebih 50 peratus penduduk yang layak di New York dan lebih 70 peratus di Washington DC. 

Tambah Dr Jha, AS masih menilai sama ada penularan cacar monyet ini harus diisytiharkan sebagai darurat kecemasan awam. 

"Kami sedang meneliti perkara itu, meneliti cara-cara pertingkatkan respons, jika boleh, dengan mengisytiharkan darurat kecemasan awam." 

Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa