Skip to main content

Dunia

Lapangan Terbang Sydney gantung semua penerbangan susuli amaran kebakaran

Penerbangan-penerbangan di Lapangan Terbang Sydney digantung pada Jumaat (29 Mac) selepas asap dikesan di menara kawalan trafik udara.

Anggaran Waktu Membaca:
Lapangan Terbang Sydney gantung semua penerbangan susuli amaran kebakaran

Gambar fail Lapangan Terbang Sydney yang dipetik pada November 2015 (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 29 Mar 2019 11:32AM Dikemas Kini : 29 Mar 2019 11:36AM

SYDNEY: Penerbangan-penerbangan di Lapangan Terbang Sydney digantung pada Jumaat (29 Mac) selepas asap dikesan di menara kawalan trafik udara.

Menara kawalan tersebut dikosongkan, namun ia tidak "ditutup sepertimana dilaporkan beberapa pihak media," menurut penyedia khidmat pengemudian udara Airservices Australia.

"Kesemua penerbangan digantung buat sementara dan tiada pesawat berlepas atau mendarat buat masa ini di Lapangan Terbang Sydney," pihaknya mengumumkan di Twitter pada sekitar 12.00 tengah hari waktu tempatan (9.00 pagi waktu Singapura).

Sekitar 20 minit kemudian, Airservices Australia menyatakan ia sudah mula memproses ketibaan pesawat.

"Pesawat sudah mula mendarat, namun pada kadar yang lebih perlahan. Tiada yang berlepas buat masa ini," menurut penyedia khidmat itu.

Virgin Australia dalam satu catatan Twitter menyatakan tiada pesawat dapat mendarat atau berlepas dari Lapangan Terbang Sydney.

Laman pemantau penerbangan Flightradar24 menunjukkan beberapa pesawat berlegar-legar di sekitar lapangan tersebut.

"Para anggota bomba sudah memberi kebenaran untuk kakitangan kembali ke menara. Kami menjangkakan operasi akan pulih sepenuhnya dalam masa 10 minit," menurut Airservices Australia menerusi Twitter pada 12.37 tengah hari.

Menurut laporan News.com.au, pek bateri yang rosak yang dihubungkan dengan sistem komputer menara itu, mula mengeluarkan asap pada 11.40 pagi dan menyebabkan penggera kebakaran berbunyi.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita