Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lapangan Terbang Subang jadi hab penerbangan serantau, dedah Menteri Pengangkutan M'sia

Cadangan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) yang disediakan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada 2 Februari lalu setelah mengambil kira pertimbangan yang teliti.

Anggaran Waktu Membaca:
Lapangan Terbang Subang jadi hab penerbangan serantau, dedah Menteri Pengangkutan M'sia

Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS) pada 2018. (Gambar: AFP)

SUBANG: Cadangan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) yang disediakan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada 2 Februari lalu setelah mengambil kira pertimbangan yang teliti.

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke Siew Fook berkata pembangunan itu akan memberi fokus terhadap pembangunan Ekosistem Aeroangkasa, Penerbangan Am dan penerbangan perniagaan serta Lapangan Terbang Bandar Raya atau Sekunder.

Beliau berkata antara perubahan utama yang dicadangkan di dalam pelan itu adalah cadangan untuk memperkenalkan semula penerbangan berjadual serantau menggunakan pesawat jet dan pesawat kargo di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS).

“Sasaran pasaran adalah kumpulan penumpang bisnes ataupun kelas premium dengan memanfaatkan penuh kedudukan LTSAAS yang cukup strategik di tengah-tengah ibu kota.

“Penerbangan berjadual menggunakan pesawat propeller dan turboprop akan dikekalkan berikutan permintaan pasaran terhadap perkhidmatan itu yang dijangka berterusan dan positif,” katanya pada sidang media di LTSAAS hari ini (6 Feb).

Encik Loke berkata melalui SARP, LTSAAS bakal berubah menjadi sebuah hab penerbangan serantau dengan kapasiti maksimum seramai lapan juta penumpang setahun selain menjana ribuan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia.

Beliau berkata selain itu ia akan memberi rangsangan kepada rantaian industri pengangkutan udara dan industri aeroangkasa selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju aeroangkasa di rantau Asia Tenggara menjelang tahun 2030.

Untuk langkah seterusnya, Encik Loke berkata MAHB akan merangka seluruh pelan pembangunan semula LTSAAS merangkumi kos keseluruhan projek untuk dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri sebelum suku pertama tahun ini berakhir, iaitu kurang daripada dua bulan dari sekarang.

Secara amnya, ekosistem yang akan dibangunkan di LTSAAS bakal melibatkan tujuh komponen yang meliputi pusat industri aeroangkasa; pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih; pusat penyelidikan dan pembangunan; operasi penerbangan am; operasi penerbangan bisnes; mobiliti udara bandar dan operasi penerbangan komersial serantau.

Sementara itu, mengulas mengenai kerosakan struktur jejambat dan tiang yang retak berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya, Encik Loke berkata beliau akan melakukan lawatan di lokasi berkenaan Rabu ini (8 Feb) bagi meninjau sendiri perkara itu.

Media sebelum ini melaporkan operasi perkhidmatan LRT laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen Bandaraya serta kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan, yang menyebabkan gangguan antara dua stesen iaitu Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya bermula 27 Januari lalu.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan