Skip to main content

Dunia

Lapangan Terbang LaGuardia di New York berdepan kelewatan & pembatalan penerbangan untuk hari kedua

Anggaran Waktu Membaca:
Lapangan Terbang LaGuardia di New York berdepan kelewatan & pembatalan penerbangan untuk hari kedua

Khidmat kecemasan di lokasi kemalangan melibatkan pesawat Canada Express jet di Lapangan Terbang LaGuardia di New York pada 23 Mac 2026. (Gambar: Reuters/Shannon Stapleton)

Diterbitkan : 24 Mar 2026 11:30PM Dikemas Kini : 24 Mar 2026 11:31PM
NEW YORK: Lapangan Terbang LaGuardia di New York berdepan kelewatan dan pembatalan penerbangan yang ketara untuk hari kedua berturut-turut menyusuli nahas yang membawa maut pada Ahad malam (22 Mac) antara sebuah jet Air Canada Express dengan sebuah kereta bomba di landasan.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menyatakan bahawa pihaknya tidak menjangka salah satu daripada dua landasan di lapangan terbang New York itu akan dibuka semula sehingga Jumaat.

FlightAware, sebuah laman penjejakan penerbangan, menyatakan 221 penerbangan, atau 20 peratus, dibatalkan dan 214 lagi tertangguh setakat pukul 9.45 pagi waktu EDT.

FAA memberi amaran tentang kelewatan berpanjangan sepanjang hari. Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Jennifer Homendy berkata beliau merancang untuk mengadakan sidang media lewat hari ini mengenai siasatan tersebut dan memperincikan sebahagian dapatan daripada perakam data kokpit dan penerbangan yang diambil daripada jet CRJ-900 yang dikendalikan oleh rakan kongsi serantau, Jazz Aviation.

NTSB merancang untuk menemu bual seorang pengawal trafik udara yang sedang mengendalikan satu lagi kecemasan sebelum berlakunya nahas tersebut.

Kemalangan itu, yang berlaku semasa jet itu mendarat, mengorbankan kedua-dua juruterbangnya dan mencederakan sembilan orang lain secara serius. Ia membangkitkan semula kebimbangan mengenai kekurangan kakitangan kawalan trafik udara di lapangan terbang utama Amerika Syarikat.

Cik Homendy berkata pertembungan yang berlaku sejurus sebelum tengah malam pada Ahad itu terjadi semasa syif malam bagi pengawal tersebut.

Pakar keselamatan udara Amerika Syarikat berkata komunikasi antara pesawat yang sedang mendarat, pengawal dan kereta bomba berkenaan akan menjadi tumpuan siasatan.

Nahas udara biasanya disebabkan oleh pelbagai faktor. Menurut audio berasingan yang dimuat naik oleh liveatc.net, seorang pengawal yang tidak dikenali, yang dipercayai terlibat dalam nahas itu, memberitahu juruterbang lain selepas pertembungan bahawa dia sedang mengendalikan satu kecemasan sebelum itu.

"Saya telah buat silap," katanya dengan suara yang terketar-ketar.

Pengawal trafik udara secara rutin mengendalikan pelbagai penerbangan, dan empat juruterbang komersial memberitahu Reuters bahawa adalah perkara biasa bagi seorang pengawal mengendalikan dua tugas - kawalan pesawat di landasan dan kawalan semasa mendarat atau berlepas — yang merupakan dua tugas amat berbeza, di LaGuardia dan lapangan terbang metropolitan utama yang lain.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita