Skip to main content

Dunia

Lapangan Terbang Heathrow kembali beroperasi selepas ditutup ekoran kebakaran

Anggaran Waktu Membaca:
Lapangan Terbang Heathrow kembali beroperasi selepas ditutup ekoran kebakaran

(Gambar: AFP/STR)

Diterbitkan : 22 Mar 2025 06:47AM Dikemas Kini : 22 Mar 2025 06:48AM
LONDON: Penerbangan di Lapangan Terbang Heathrow di London disambung semula pada lewat Jumaat (21 Mac) selepas kebakaran di sebuah stesen janakuasa elektrik menyebabkan lapangan terbang itu terpaksa ditutup selama sehari.

Ia sekali gus menyebabkan puluhan ribu penumpang terkandas dan mencetuskan gangguan terhadap penerbangan di seluruh dunia.

Menurut Lapangan Terbang Heathrow, pasukannya berusaha bertungkus lumus untuk membuka semula lapangan terbang kelima paling sibuk di dunia, selepas ia terpaksa ditutup sepenuhnya selepas kebakaran besar-besaran tercetus di sebuah stesen janakuasa elektik pada Khamis malam (20 Mac).

Lapangan terbang itu dijadual menguruskan sebanyak 1,351 penerbangan pada Jumaat dan seramai 291,000 penumpang.

Namun, beberapa pesawat terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang lain di Britain dan di merata Eropah, manakala kebanyakan penerbangan jarak jauh kembali ke tempat pelepasan mereka.

Lapangan Terbang Heathrow menyatakan terdapat jumlah penerbangan yang terhad pada Jumaat, di mana ia lebih tertumpu kepada pemindahan pesawat dan untuk membawa pesawat kembali ke London.

"Pada pagi esok, kami menjangkakan akan kembali beroperasi sepenuhnya, kepada 100 peratus operasi seperti hari biasa," kata ketua eksekutif Heathrow Thomas Woldbye.

"Apa yang saya ingin lakukan adalah memohon maaf kepada orang ramai yang terjejas perjalanan mereka ... kami benar-benar mohon maaf atas kesulitan yang berlaku."

Polis menyatakan selepas menjalankan penilaian awal, mereka tidak menganggap kejadian itu sebagai mencurigakan.

Sungguhpun begitu, ia masih menjalankan soal siasat.

Pasukan Bomba London menyatakan siasatannya akan memberi tumpuan kepada alat pengedaran elektrik.
Sumber : Reuters/HA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita