Skip to main content

Dunia

Lapangan Terbang Heathrow ditutup susuli insiden kebakaran; jadual penerbangan dijangka alami gangguan besar

Anggaran Waktu Membaca:
Lapangan Terbang Heathrow ditutup susuli insiden kebakaran; jadual penerbangan dijangka alami gangguan besar

Terminal 5 Lapangan Terbang Heathrow di London dan petikan skrin dari video yang menunjukkan kebakaran di stesen janakuasa elektrik yang membekalkan tenaga ke lapangan terbang itu pada 21 Mac 2025.(Gambar: Reuters and X user @fire_at_Vill via AFP)

Diterbitkan : 21 Mar 2025 01:31PM Dikemas Kini : 21 Mar 2025 01:33PM
HEATHROW: Lapangan Terbang Heathrow di Britain terpaksa ditutup selepas kebakaran berlaku di sebuah stesen janakuasa elektrik yang membekalkan tenaga ke kemudahan itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jabatan Bomba London menyatakan sekitar 70 anggota bomba cuba memadam kebakaran itu di bahagian barat London, yang menyebabkan bekalan elektrik terputus secara besar-besaran di lapangan terbang paling sibuk di Eropah dan kelima paling sibuk di dunia itu.

Jabatan bomba juga menyatakan punca kebakaran tidak diketahui.

Menurut laman penjejakan penerbangan FlightRadar24, banyak penerbangan sudahpun dilencongkan ke lapangan terbang lain, dengan Qantas Airways melencongkan penerbangannya dari Perth ke Paris, dan penerbangan United Airlines melencongkan penerbangan New York ke Shannon, Ireland.

Beberapa penerbangan dari Amerika Syarikat juga membuat pusingan di ruang udara dan kembali ke lokasi keberangkatan.

British Airways dan Virgin Atlantic melencongkan penerbangan ke lapangan terbang berhampiran di Gatwick.

Sekurang-kurangnya 120 penerbangan di ruang udara, yang dijadualkan mendarat di Heathrow, perlu dilencongkan disebabkan penutupan itu, menurut FlightRadar24.

Dalam kenyataan di platform X, pihak pengurusan Heathrow memaklumkan bahawa penutupan akan dikuat kuasa sehingga 11.59 malam (waktu tempatan) 21 Mac demi memastikan keselamatan penumpang dan kakitangan.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak ke lapangan terbang dan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk maklumat lanjut.

"Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku," menurut kenyataan itu.

Heathrow adalah antara lapangan terbang paling sibuk di dunia, mengendalikan berjuta-juta penumpang setiap tahun.

Penutupan itu dijangka menyebabkan gangguan besar terhadap jadual penerbangan serta perjalanan penumpang.
Sumber : Agensi berita/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita