Lapangan Terbang Gatwick sambung semula operasi meski dron ganggu penerbangan
Penerbangan di Lapangan Terbang Gatwick di London disambung semula semalam (21 Dis) meskipun sebuah dron sekali lagi dikesan pada hari ketiga sejak berpuluh-puluh ribu penumpang terkandas.
Lapangan Terbang Gatwick di London. (Gambar: AFP)
LONDON: Penerbangan di Lapangan Terbang Gatwick di London disambung semula semalam (21 Dis) meskipun sebuah dron sekali lagi dikesan pada hari ketiga sejak berpuluh-puluh ribu penumpang terkandas.
Semua penerbangan digantung buat sementara waktu pada Jumaat petang (21 Dis) selepas jurucakap Lapangan Terbang Gatwick berkata terdapat "pengesahan bahawa sebuah dron dikesan", namun penerbangan disambung semula sejurus selepas itu.
"Penerbangan digantung buat sementara waktu sedang kami melakukan siasatan. Ini merupakan satu langkah pencegahan kerana keselamatan penumpang tetap keutamaan kami," menurut lapangan terbang itu dalam kenyataannya.
"Langkah-langkah tentera yang sudah dikuatkasakan di lapangan terbang itu memberi kami jaminan yang sewajarnya bahawa adalah selamat untuk kami membuka semula ruang udara," menurut kenyataan itu lagi.
Dron-dron pertama kali dikesan di sekitar hab udara kedua paling sibuk di Britain itu pada Rabu (19 Dis), sekaligus menyebabkan landasan kapal terbang ditutup dan mencetuskan kelam-kabut bagi lebih 120,000 orang.
Buat masa ini, polis masih lagi memburu para pengendali dron berkenaan.
Menurut jurucakap Lapangan Terbang Gatwick, 91 daripada 412 pesawat yang dijadual tiba di lapangan terbang itu semalam (21 Dis) sudah dibatalkan. Beliau berkata 64 daripada 371 pesawat yang dijadual berlepas dari Gatwick juga terpaksa dibatalkan.
Pada Khamis (20 Dis), pasukan tentera diminta memberi bantuan dengan kementerian pertahanan negara itu mengerahkan sesuatu yang hanya disifatkan sebagai perkakas khas.
"Terdapat pelbagai langkah yang sudah dikuatkuasakan yang memberi para penumpang keyakinan bahawa mereka boleh melakukan perjalanan dengan selamat," kata Setiausaha Pengangkutan Britain, Chris Grayling, kepada agensi berita BBC semalam (21 Dis).
Para pegawai kerajaan juga sudah mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan mengenai keadaan tersebut.
Dron-dron sudah dikesan lebih 50 kali sejak ia dilihat buat pertama kali pada pukul 9.00 malam waktu tempatan pada Rabu (19 Dis), kata Jason Tingley dari Polis Sussex.
Sekitar 10,000 penumpang terjejas pada Rabu malam (19 Dis) akibat insiden itu. Lagi 110,000 penumpang dari 760 penerbangan yang dijadual berlepas atau tiba di lapangan terbang itu pada Khamis (20 Dis) turut terjejas.
Gatwick, yang terletak sekitar 50 kilometer dari bahagian selatan London, adalah lapangan terbang kelapan paling sibuk di Eropah.
Penerbangan-penerbangan yang dijadual tiba di Gatwick dilencongkan ke lapangan-lapangan terbang lain, termasuk Paris. Para penumpang yang sepatutnya berlepas dari lapangan terbang itu pula menghadapi kelengahan.
Di bawah undang-undang baru di Britain, dron tidak dibenarkan diterbangkan berhampiran sebuah pesawat atau di kawasan sekitar satu kilometer dari sebuah lapangan terbang, ataupun pada ketinggian melebihi 122 meter.
Para pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun kerana membahayakan pesawat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.