Skip to main content

Dunia

Lapangan Terbang Dubai tingkatkan operasi setelah ruang udara UAE dibuka semula

Operasi dan penerbangan di Lapangan Terbang Dubai dipertingkatkan setelah ruang udara Amiriah Arab Bersatu (UAE) dibuka semula sepenuhnya, dengan kapasiti ditingkatkan selaras dengan laluan yang tersedia, kata CEO Paul Griffiths pada Isnin (4 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Lapangan Terbang Dubai tingkatkan operasi setelah ruang udara UAE dibuka semula
Pesawat Emirates yang diletakkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai selepas ia ditutup, di Dubai, Amiriah Arab Bersatu, pada 1 Mac 2026. (Gambar fail: AP/Altaf Qadri)
Diterbitkan : 04 May 2026 06:27PM Dikemas Kini : 04 May 2026 06:28PM
DUBAI: Operasi dan penerbangan di Lapangan Terbang Dubai dipertingkatkan setelah ruang udara Amiriah Arab Bersatu (UAE) dibuka semula sepenuhnya, dengan kapasiti ditingkatkan selaras dengan laluan yang tersedia, kata CEO Paul Griffiths pada Isnin (4 Mei).

Penguasa Penerbangan UAE menyatakan pada Sabtu (2 Mei) bahawa trafik udara kembali normal setelah langkah berjaga-jaga yang dilaksanakan pada 28 Februari lalu, di permulaan perang Iran, ditarik balik.

Walaupun mengalami gangguan daripada konflik itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dan Al Maktoum mengendalikan lebih enam juta penumpang, lebih 32,000 pergerakan pesawat dan lebih 213,000 tan metrik kargo, dengan permintaan perjalanan melalui Dubai kekal kukuh, kata Encik Griffiths dalam catatan LinkedIn.

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, iaitu hab perjalanan antarabangsa paling sibuk di dunia, mengendalikan 18.6 juta penumpang pada suku pertama 2026, berbanding 23.4 juta setahun sebelumnya, menurut pejabat media Dubai pada Isnin.

"Peristiwa luar biasa yang berlaku sepanjang beberapa minggu lalu adalah sesuatu yang tidak dijangkakan bagi mana-mana hab penerbangan utama," kata Encik Griffiths.

"Permintaan bagi perjalanan melalui Dubai kekal kukuh, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai berada di kedudukan baik untuk meningkatkan kapasiti secara bertahap-tahap dan menyokong syarikat-syarikat penerbangan dan pelawat melalui tempoh penyesuaian yang berterusan," katanya.

Sebelum perang tercetus dan penutupan ruang udara Teluk menjejas trafik selama hampir dua bulan, Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dijangka mengendalikan hampir 100 juta penumpang tahun ini, kata pengendalinya pada 11 Februari lalu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai disasarkan beberapa kali oleh dron sedang UAE menanggung padah
akibat tindakan balas Iran terhadap serangan Amerika-Israel.

Trafik penumpang lapangan terbang itu merosot sebanyak dua pertiga pada Mac lalu, menurut pejabat media UAE pada Isnin.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita