Skip to main content

Dunia

Lapangan Terbang Dubai sambung semula operasi setelah digantung buat sementara waktu

Lapangan Terbang Dubai, yang merupakan tempat paling sibuk di dunia bagi trafik antarabangsa, menyambung semula sebahagian operasinya pada Sabtu (7 Mac) setelah satu pemintasan udara berlaku di kawasan tersebut di tengah-tengah perang Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel.
Anggaran Waktu Membaca:
Lapangan Terbang Dubai sambung semula operasi setelah digantung buat sementara waktu
Pesawat Emirates kelihatan di Terminal Emirates di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada 10 Februari 2013. (Gambar fail: REUTERS/Jumana El Heloueh)
Diterbitkan : 07 Mar 2026 07:29PM
DUBAI: Lapangan Terbang Dubai, yang merupakan tempat paling sibuk di dunia bagi trafik antarabangsa, menyambung semula sebahagian operasinya pada Sabtu (7 Mac) setelah satu pemintasan udara berlaku di kawasan tersebut di tengah-tengah perang Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel.

"Tolong jangan pergi ke lapangan terbang kecuali jika anda dihubungi oleh syarikat penerbangan anda bahawa penerbangan anda sudah disahkan, kerana jadual penerbangan terus berubah-ubah," menurut pihak lapangan terbang itu dalam satu catatan di media sosial.

Lapangan terbang itu sebelum ini mengumumkan operasinya digantung buat sementara waktu.

Pengumuman itu dibuat tidak lama selepas sebuah objek dipintas di ruang udara berhampiran lapangan terbang berkenaan, dengan seorang saksi memberitahu AFP bahawa satu letupan kuat kedengaran, sebelum kepulan asap mula kelihatan.

Laman penjejakan Flightradar24 sebelum ini menunjukkan beberapa pesawat berlegar-legar di ruang udara di atas lapangan terbang tersebut.

Penerbangan dari lapangan terbang utama Dubai itu sebahagiannya disambung semula pada Isnin meskipun serangan dron menyasarkan beberapa lokasi di Amiriah Arab Bersatu (UAE) setiap hari.

Pemerintah Dubai dalam satu catatan menyatakan terdapat “satu insiden kecil yang terjadi akibat serpihan yang jatuh menyusuli satu pemintasan”.

Kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Ia juga menafikan “maklumat yang tersebar di media sosial mengenai insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai”, tanpa memberikan penjelasan lanjut.

“Pertahanan udara Amiriah Arab Bersatu kini sedang bertindak balas terhadap ancaman peluru berpandu dan dron yang datang dari Iran,” kata Kementerian Pertahanan Amiriah, tanpa menyatakan sasaran serangan tersebut.

Emirates, syarikat penerbangan terbesar di Timur Tengah, turut mengumumkan pada Sabtu bahawa ia menggantung semua penerbangannya ulang-alik ke Dubai sehingga diberitahu kelak.

Namun tidak lama kemudian, ia menulis dalam catatan di platform media sosial X bahawa syarikat penerbangan itu akan menyambung semula operasinya.

“Para penumpang yang mempunyai tempahan yang sudah disahkan bagi pergi ke lapangan terbang. Ini termasuk para pelanggan yang melakukan transit di Dubai, jika penerbangan sambungan mereka juga beroperasi,” menurut Emirates.

“Emirates terus memantau keadaan, dan kami akan menyesuaikan jadual operasi kami dengan sewajarnya.”

Pada Sabtu lalu, empat pekerja cedera dan sebuah terminal rosak di Lapangan Terbang Dubai apabila perang tercetus di Timur Tengah menyusuli serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran.

Pengendali Dubai Airports ketika itu berkata insiden tersebut “dapat dikawal dengan cepat”, tanpa memberikan butiran lanjut.

Serangan Iran juga menyasarkan Lapangan Terbang Abu Dhabi, pembangunan mewah Palm Jumeirah dan hotel mewah Burj Al Arab, manakala serpihan dron menyebabkan kebakaran di konsulat Amerika Syarikat di Dubai pada Selasa.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita