Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lapangan terbang Britain bakal gugurkan syarat cecair 100ml bagi beg tangan jelang 2024

Anggaran Waktu Membaca:
Lapangan terbang Britain bakal gugurkan syarat cecair 100ml bagi beg tangan jelang 2024

(Gambar fail: AFP/Tor Wennstrom)

Diterbitkan : 24 Nov 2022 06:35PM Dikemas Kini : 24 Nov 2022 06:35PM

UNITED KINGDOM: Britain mungkin akan menggugurkan had 100 mili-liter bagi cecair yang dibawa naik ke pesawat, mulai pertengahan tahun depan.

Media Britain melaporkan syarat tersebut mungkin akan dimansuhkan memandangkan alat-alat pengimbas lebih canggih dijangka akan dipasang.

Peraturan itu sedang disemak dan pengumuman rasmi dijangkakan dalam minggu-minggu akan datang.

Buat masa ini para penumpang perlu mengeluarkan peranti tablet, komputer riba dan cecair dari beg kabin.

Jumlah cecair tidak boleh melebihi 100 mili-liter dan perlu diletakkan di dalam beg plastik lutsinar.

Peraturan itu diperkenalkan 16 tahun lalu, selepas rancangan pengganas untuk membawa bahan letupan dalam bekas air minuman dipatahkan.

Namun, mesin yang boleh membuat pengimbasan 3-D sedang mendorong perubahan dasar tersebut.

PENGIMBAS 3D BAGI BAGASI

Pengimbas keselamatan 'Advanced Computed Tomography' (CT), yang akan membenarkan pengimbasan 3D bagi bagasi tangan, bakal membawa perubahan dasar.

Pengimbas CT tersebut menghasilkan imbasan 3D resolusi tinggi bagi beg penumpang, yang membolehkan pengendali memeriksa beg dari setiap sudut. Manakala, mesin lama hanya menghasilkan imej 2D bagi beg pakaian, menurut laporan The Times.


Menurut akhbar tersebut, Jabatan Pengangkutan (DfT) sudahpun menggesa lapangan terbang utama Britain untuk menggantikan teknologi pengimbas lama secara sepenuhnya menjelang musim panas pada 2024.

Sebelum ini, tarikh akhir bagi kesemua lapangan terbang utama Britain untuk mempunyai teknologi tersebut adalah Disember 2022 tetapi ia ditangguhkan disebabkan pandemik.

Pengumuman untuk merintis penggunaan pengimbas CT dibuat pada 2019 oleh mantan Perdana Menteri UK, Boris Johnson.
 
Sumber : AFP/SS/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa