Skip to main content

Dunia

Lapangan Terbang Bali dilengkapi 3 pengimbas terma dalam usaha cegah mpox

Anggaran Waktu Membaca:
Lapangan Terbang Bali dilengkapi 3 pengimbas terma dalam usaha cegah mpox

Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai di Bali. (Gambar: DICKY BISINGLASI / AFP)

JAKARTA: Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai di Bali kini melaksanakan saringan suhu bagi setiap ketibaan antarabangsa sebagai sebahagian daripada langkah biosekuriti yang dipertingkatkan untuk mencegah penyebaran mpox.

Keputusan itu dibuat berikutan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini yang mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global buat kali kedua dalam tempoh dua tahun.

Pengurus besar lapangan terbang, Handy Heryudhitiawan mengumumkan bahawa tiga kamera pengimejan terma dipasang di lokasi utama di kawasan ketibaan dan ia akan berkoordinasi dengan Pusat Kuarantin Kesihatan Denpasar (BBKK) bagi melaksanakan protokol baharu itu.

"Tiada tumpuan khusus kepada warga asing dalam mencegah penularan mpox," kata Encik Handy seperti yang dipetik portal berita The Bali Sun.

Beliau berkata bahawa penumpang yang mengalami simptom mpox akan diasingkan di klinik BBKK di terminal antarabangsa sebelum dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Pada Isnin (19 Ogos), pemangku ketua pengarah pencegahan dan kawalan penyakit di Kementerian Kesihatan, Yudhi Pramono mengesahkan bahawa semua penumpang yang tiba diminta mengisi borang saringan kesihatan bagi membantu memantau pergerakan pelancong.

Borang itu akan mengumpulkan maklumat mengenai sejarah perubatan pelancong, kenalan terkini dan destinasi perjalanan.

Kementerian Kesihatan melaporkan 88 kes mpox, taau dikenali sebagai cacar monyet sebelum ini, di Indonesia dari 2022 hingga tahun ini, termasuk 74 kes pada 2023 dan 14 kes setakat tahun ini.
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita