Skip to main content

Dunia

Lapangan terbang baharu Kemboja dibuka pada Julai

Anggaran Waktu Membaca:
Lapangan terbang baharu Kemboja dibuka pada Julai

(Gambar: AP/Heng Sinith)

Diterbitkan : 22 Mar 2025 01:30PM Dikemas Kini : 22 Mar 2025 01:31PM
KANDAL: Sebuah lapangan terbang baharu dijangka dibuka di ibu kota Kemboja, Phnom Penh pada Julai ini, kata seorang pegawai projek pada Jumaat (21 Mac).

Pembukaan lapangan terbang itu dijangka merancakkan sektor pelancongan Kemboja, yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Kerja-kerja pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Techo bermula pada 2019, yang merangkumi kawasan seluas 2,600 hektar.

Ia terletak di wilayah Kandal dan Takeo, iaitu kira-kira 30 kilometer dari Phnom Penh.

Pembinaan lapangan terbang dijalankan mengikut tiga fasa.

Lapangan terbang baharu itu merupakan usaha sama bernilai AS$1.5 bilion (S$1.9 bilion) antara pemerintah Kemboja dan Overseas Cambodian Investment Corp.

Ia sedang dibina oleh China Construction Third Engineering Bureau Group Co Ltd.

Apabila siap dibina, ia dijangka dapat menampung sehingga 13 juta penumpang setahun, dengan keupayaannya ditingkatkan sehingga 30 juta penumpang selepas 2030, dan sehingga 50 juta penumpang pada 2050.

Ia akan menjadi lapangan terbang utama kedua di Kemboja yang dibuka dalam tempoh dua tahun.

Pada 2023, Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap-Angkor yang dibiayai oleh China mula beroperasi di wilayah barat laut Siem Reap, kira-kira 40 kilometer dari timur kompleks kuil Angkor Wat, iaitu tarikan utama pelancong di negara itu.

Menurut Kementerian Pelancongan Kemboja, negara tersebut menerima kira-kira 6.7 juta pelancong antarabangsa pada 2024, peningkatan 23 peratus berbanding 2023.
 
Sumber : AP/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita