Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Langkah PN calonkan Muhyiddin sebagai bakal PM bukan 'mimpi di siang hari'

Keputusan Perikatan Nasional (PN) mencalonkan Muhyiddin Yassin sebagai bakal Perdana Menteri jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan ibarat `mimpi di siang hari'.

Anggaran Waktu Membaca:
TANGKAK: Keputusan Perikatan Nasional (PN) mencalonkan Muhyiddin Yassin sebagai bakal Perdana Menteri jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan ibarat `mimpi di siang hari'.

Pengerusi PN itu menjelaskan pemilihannya dibuat oleh pimpinan gabungan itu kerana rakyat ingin tahu siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri, menurut laporan BH Online.

"Tak ada mimpi siang, mimpi malap tetapi kita realistik. Bukan cakap omong kosong, ada asas dan ini keputusan yang dibuat oleh pimpinan PN untuk menamakan siapa bakal Perdana Menteri.

"Ini nak membentuk kerajaan, rakyat nak tahu, kalau bakal Perdana Menteri terdiri daripada kluster mahkamah atau bekas banduan, adakah rakyat nak pilih? Atau pun dia (rakyat) fikir abah bagus," katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama penduduk Parit Raja di Tangkak pada Jumaat (11 Nov).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa bahawa langkah PN menamakan semula Encik Muhyiddin sebagai bakal Perdana Menteri seperti `mimpi di siang hari'.

Encik Ahmad Zahid juga menyifatkan kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin selama 17 bulan sebagai gagal.

Mengulas lanjut, Encik Muhyiddin berkata PN amat jelas dalam soal pemilihan bakal Perdana Menteri kerana rakyat mahu pemimpin yang telus demi masa depan negara.

"Ini bukan soal mimpi siang hari, ini siang waktu pilihan raya rakyat nak tahu jelas, telus, jangan menyorok di belakang.

"Dia (Ahmad Zahid) kata nak jadi kerajaan, tetapi lepas itu nak sekongkol dengan pihak lain, nak menamakan orang lain jadi Perdana Menteri," katanya seperti ditukil BH Online.

Dalam pada itu, Encik Muhyiddin, yang juga calon PN Parlimen Pagoh, mengingatkan semua pihak supaya tidak merendahkan keupayaan PN dalam menguruskan hal berkaitan pemulihan ekonomi.

"Ini saya nak sebutkan, tak boleh hanya bagi kredit kepada Perdana Menteri baru ini (Ismail Sabri Yaakob) sahaja. Peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berlaku selepas pelbagai langkah kita ambil waktu zaman susah dan kita buka (ekonomi) dalam tempoh sesuai supaya ekonomi kita pulih.

"Jadi jangan kata kredit mesti diberikan kepada BN (Barisan Nasional), yang mana sebahagian besar menteri adalah daripada PN dan mereka juga menyumbang. Itu satu petanda bahawa kita mampu dan berupaya untuk menguruskan ekonomi negara kita," tegasnya.
Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan