Skip to main content

Dunia

Langkah keselamatan dipertingkat di Masjid Nabawi pada bulan Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
Langkah keselamatan dipertingkat di Masjid Nabawi pada bulan Ramadan

(Gambar: AFP/Abdel Ghani BASHIR)

Diterbitkan : 09 Mar 2025 09:35PM Dikemas Kini : 09 Mar 2025 09:38PM
MADINAH: Kementerian dalam Negeri Arab Saudi mempertingkatkan usaha di Masjid Nabawi pada bulan Ramadan tahun ini, dengan pelbagai sektor keselamatan dan perkhidmatan melaksanakan rancangan bersepadu untuk meningkatkan tahap keselamatan, mengurus pergerakan orang ramai dan menawarkan sokongan dan khidmat kemanusiaan.

Jabatan Keselamatan Awam yang diwakili oleh Pasukan Khas Keselamatan Haji dan Umrah, memantau keluar masuk para jemaah serta mengurus orang ramai dalam masjid dan perkarangannya.

Teknologi moden termasuk sistem pemantauan canggih dan kamera pengimejan haba digunakan untuk memastikan pergerakan lancar para jemaah dan menjaga keselamatan, lapor Saudi Gazette.

Jabatan Trafik juga melaksanakan usaha besar-besaran untuk mengawal lalu lintas di Madinah, khususnya di jalan-jalan raya menuju ke Masjid Nabawi.

Langkah-langkah itu termasuk menyediakan laluan pejalan kaki, menguruskan tempat letak kereta dan mengarah lalu lintas mengikut strategi yang dirancang dengan teliti bagi menampung jumlah penduduk yang padat.

Teknologi canggih juga digunakan untuk memantau dan mengatur aliran trafik.

Sementara itu, Pasukan Pertahanan Awam Arab Saudi mengukuhkan lagi langkah-langkah keselamatan awam melalui pasukan penyeliaan pencegahan untuk memastikan kepatuhan dengan peraturan keselamatan di kemudahan Masjid Nabawi.

Menurut laporan Saudi Gazette, inisiatif itu mencerminkan komitmen Arab Saudi untuk memastikan tahap keselamatan dan keselesaan tertinggi bagi para jemaah di Masjid Nabawi.
 
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita