Skip to main content

Dunia

Langkah kerajaan tarik balik permohonan semak status Pedra Branca pada 2018 'tidak wajar', kata Peguam Negara M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Keputusan Kerajaan Malaysia pada 2018 untuk menarik balik permohonan bagi menyemak semula penghakiman mahkamah antarabangsa untuk menyerahkan Pedra Branca kepada Singapura adalah "tidak wajar".

Demikian menurut Peguam Negara Malaysia Idris Harun pada Jumaat (27 Jan).

Kenyataan itu dikeluarkan selepas kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada bulan lalu meminta Encik Idris untuk memperjelaskan tuntutan Malaysia ke atas Pedra Branca, atau yang dipanggilnya sebagai Pulau Batu Puteh.

Kerajaan Malaysia sudah menubuhkan sebuah pasukan bertindak untuk meneliti isu berkenaan.

Pasukan tersebut sudahpun membentangkan laporan muktamadnya kepada Kabinet pada 11 Januari lalu.

Dalam kenyataannya, Encik Idris berkata kerajaan bertanggapan bahawa keputusan pada 2018 untuk menarik balik dua permohonan yang dikemukakan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kedaulatan Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge "adalah tidak wajar dan tidak dilakukan dengan teratur" .

Encik Idris turut mendedahkan bahawa pejabatnya sedang mengkaji saranan-saranan yang diusulkan oleh pasukan bertindak itu.

Ini termasuk isu-isu berkaitan "kegagalan untuk melaksanakan tanggungjawab awam".

Beliau menambah pihaknya akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk melaksanakan keputusan Kabinet.

Encik Idris turut menekankan bahawa kerajaan Malaysia menghormati penghakiman ICJ pada Mei 2008 berhubung perkara tersebut, yang termasuk penyerahan Pedra Branca kepada Singapura dan Middle Rocks kepada Malaysia.

Pada Khamis (26 Jan), Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar diberikan taklimat oleh pasukan petugas khas itu berhubung isu tersebut yang melibatkan Pedra Branca. Agensi berita Malay Mail melaporkan bahawa tiga menteri persekutuan yang menganggotai pasukan petugas khas tersebut sudah mengadakan mesyuarat dengan Sultan Johor.

Sementara itu, di sebuah forum di Singapura pada awal bulan ini, Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke ditanya mengenai pendekatan Malaysia berhubung isu Pedra Branca dan bagaimana sesetengah pemerhati merasakan ahli-ahli politik dalam kerajaan cenderung menggunakan dasar asing untuk meraih sokongan.

Encik Loke bertegas bahawa kerajaan harus mengutamakan isu-isu dalam negeri yang menjejas rakyat untuk memperolehi sokongan politik dan bukan menggunakan dasar asing.

Encik Idris berkata pada Jumaat bahawa isu-isu yang melibatkan Pedra Branca "sangat penting" kerana ia melibatkan kepentingan strategik dan kedaulatan Malaysia.

"Oleh demikian, kerajaan akan terus memastikan kepentingan dan kedaulatan Malaysia dilindungi dan sentiasa terpelihara," tambah beliau.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita