Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Langkah Kementerian Pendidikan M'sia lulus geran kajian mahkluk halus dipertikaikan

Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ini dilaporkan memperuntukkan geran sebanyak RM15,000 (S$5,000) untuk menjalankan kajian tentang makhluk halus dalam tubuh manusia.

Anggaran Waktu Membaca:
Langkah Kementerian Pendidikan M'sia lulus geran kajian mahkluk halus dipertikaikan

(Gambar hiasan: Frederic J. Brown/ AFP)

Diterbitkan : 29 Jul 2018 03:27PM Dikemas Kini : 29 Jul 2018 04:56PM

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ini dilaporkan memperuntukkan geran sebanyak RM15,000 (S$5,000) untuk menjalankan kajian tentang makhluk halus dalam tubuh manusia.

Langkah itu dipertikaikan sebilangan pihak khususnya dua ahli akademik yang mempersoalkan perlunya geran bagi kajian sedemikian diluluskan.

Menurut portal berita Free Malaysia Today, geran itu adalah bagi pembiayaan projek penyelidikan yang diketuai Dr Yohan Kurniawan di Universiti Malaysia Kelantan. Peralatan elektronik yang dikatakan boleh mengesan makhluk halus dalam tubuh manusia digunakan dalam kajian tersebut.

Skim geran itu disediakan untuk membantu penyelidik dalam bidang sains tulen dan sains gunaan, kejuruteraan, teknologi, kesihatan dan sains kemasyarakatan, seni dan kemanusiaan serta warisan negara.

Menurut portal Free Malaysia Today lagi, akhbar Berita Harian Malaysia sebelum ini melaporkan Dr Yohan mendakwa beliau dapat mengesan makhluk halus dalam 10 orang.

Bagi kajian tersebut, mesin yang mengesan perubahan cas elektrik pada seseorang dibeli pada harga RM15,000 (S$5,000) dari Amerika Syarikat. Ia didakwa boleh menghasilkan keputusan dengan ketepatan antara 80 hingga 90 peratus.

Dr Yohan ditukil oleh Free Malaysia Today sebagai berkata perubahan dapat dikesan apabila responden menerima rawatan Islam seperti didengarkan bacaan ayat-ayat Al-Quran. Beliau menjalankan penyelidikannya sejak dua tahun lalu.

MAMPU MENYUMBANG KEPADA PENGETAHUAN SAINS?

Antara yang mempertikaikan pembiayaan dana bagi kajian tersebut ialah Profesor Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia dan Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa yang menyifatkan kajian itu sebagai "tahyul dan tidak saintifik".

Dr Ahmad Farouk terkejut dana itu disediakan melalui Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) oleh Kementerian Pendidikan.

“Pada masa sains semakin maju pada abad ke-21, nampaknya kita sedang kembali ke dalam Zaman Pertengahan,” kata Dr Ahmad Farouk kepada Free Malaysia Today.

"Malaysia akan ditertawakan oleh dunia sains jika kajian itu mendapat liputan media antarabangsa.

“Adakah penyelidikan jenis ini dapat menyumbang kepada pengetahuan sains? Atas dasar apa ahli jawatankuasa FRGS membuat keputusan untuk membiayai penyelidikan anti sains ini?," tambah beliau.

Profesor Ahmad Fauzi juga mempunyai pandangan yang sama terhadap isu itu. Beliau berkata: “Tujuan penyelidikan di peringkat universiti mestilah untuk memperbaiki kehidupan manusia dalam pelbagai bidang. Semua permohonan geran penyelidikan diperiksa. Bagaimana geran ini diwajarkan?”

GESA KERAJAAN SEMAK DAN PERKETAT PROSES

Lantaran itu, Dr Ahmad Farouk, yang juga seorang penyelidik di Universiti Monash Malaysia, menggesa kerajaan baru, khususnya Menteri Pendidikan Maszlee Malik memperketat proses pembiayaan kajian. Beliau juga menggesa Encik Maszlee untuk meneliti bagaimana kajian tidak saintifik yang disebutkan mendapat pembiayaan.

Menurutnya, profil penyelidik itu mendedahkan rekod prestasi yang tidak menonjol, dan kajiannya dahulu diterbitkan dalam jurnal atau majalah yang "dipandang rendah, bukannya jurnal sains antarabangsa yang berprestasi baik".

“Kalau ini satu-satunya rekod pencapaian yang dia dapat tunjukkan, FRGS yang meluluskan pemberian itu patut dipersalahkan. Semasa memeriksa permohonan geran, FRGS mesti melihat teliti rekod pemohon dan antara termasuk penerbitan-penerbitan dalam jurnal sains yang bereputasi baik,” kata Dr Ahmad. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan