Skip to main content

Dunia

Langkah kawal penyeludupan barangan haram di sempadan Thailand-Malaysia jejas sumber rezeki penduduk

Anggaran Waktu Membaca:
Langkah kawal penyeludupan barangan haram di sempadan Thailand-Malaysia jejas sumber rezeki penduduk
Papan tanda amaran di sempadan antara Malaysia-Thailand. (Gambar: Mediacorp)
Diterbitkan : 26 Jan 2026 11:45PM
KUALA LUMPUR: Malaysia memperhebatkan usaha membanteras dadah, khususnya di lintasan sempadan tidak rasmi di sepanjang sempadannya dengan Thailand.

Pihak berkuasa berkata kawalan yang lebih ketat sudah mula menunjukkan kesan positif dalam mengekang penyeludupan.

Namun bagi penduduk dan peniaga di kawasan sempadan itu, langkah tersebut turut menjejas sumber rezeki mereka.

Laluan tidak rasmi di sepanjang Sungai Golok sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian penduduk selama bertahun-tahun lamanya.

Namun laluan itu juga dieksploitasi oleh para penyeludup untuk memperdagangkan barangan terkawal, seperti lembu, beras dan petrol, termasuk dadah serta senjata api.

Sejak akhir 2024, Kelantan memperketatkan penguatkuasaan di sempadan Malaysia-Thailand, termasuk merobohkan jeti haram dan merancang pembinaan tembok sempadan sepanjang 100 kilometer.

Kesannya kini dirasai para penduduk setempat.

Di seberang sempadan, pihak berkuasa Thailand berkata mereka sedang mempergiat usaha untuk menutup laluan dadah.

Namun mereka akur, para penyeludup masih terus mengeksploitasi rangkaian tempatan yang sudah lama beroperasi.

Ketua Divisyen Keselamatan di Sungai Golok Phimon Chongrak menjelaskan penyeludup selalunya meninggalkan bungkusan di atas bot apabila tiada orang.

Orang dari pihak Malaysia kemudian akan menariknya menggunakan tali dan pihak berkuasa hanya berjaya merampas barangan itu ketika ia sedang dipindahkan.

Di Kelantan pula, pihak berkuasa menegaskan, pendekatan tegas perlu diambil bagi mengekang jenayah rentas sempadan.

Mereka memberi amaran, dadah dan senjata boleh disembunyikan dengan mudah di celah barangan harian.

Namun di sebalik penguatkuasaan yang ketat, sebahagian perdagangan seludup masih berleluasa.

Malaysia menyatakan, kawalan sempadan yang lebih ketat kini menunjukkan hasil, dengan jumlah kes jenayah dadah semakin berkurangan.

Namun kedua-dua negara kini berdepan dilema yang sama - bagaimana memastikan keselamatan sempadan tanpa menyekat sumber rezeki masyarakat yang sekian lama bergantung kepadanya.

 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita