AS lancar beberapa siasatan ke atas serangan dron Kabul sedang kritikan memuncak
Serangan dron AS yang salah sasaran di Kabul hujung Ogos, bunuh 10 orang awam termasuk 7 kanak-kanak; akan disiasat beberapa jawatankuasa kongres, menurut seorang anggota kanan Democrat pada Khamis (23 Sep).

Tentera udara Amerika Syarikat menjalankan operasi pemindahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, Kabul, Afghanistan pada 23 Ogos 2021. (Gambar: Samuel RUIZ / US MARINE CORPS / AFP)
WASHINGTON: Seorang anggota kanan Democrat Amerika Syarikat berkata pada Khamis (23 Sep) bahawa beberapa jawatankuasa kongres akan menyiasat serangan dron yang membunuh 10 orang awam Afghanistan bulan lalu, untuk menentukan kesilapan yang berlaku dan menjawab soalan mengenai strategi anti pengganasan masa depan.
"Ini adalah masalah yang akan disiasat oleh beberapa jawatankuasa, dan kami sudah mula melakukannya," kata Adam Schiff, ketua Jawatankuasa Perisikan Dewan Perwakilan, kepada wartawan.
Tentera AS memohon maaf pada Jumaat atas serangan dron 29 Ogos di Kabul yang mengorbankan sehingga 10 orang awam, termasuk tujuh kanak-kanak, dan menyifatkannya sebagai "kesilapan malang".
Pentagon telah menyatakan serangan itu menyasarkan pengebom nekad ISIS yang menimbulkan ancaman segera kepada pasukan pimpinan AS ketika mereka menyelesaikan pengunduran dari Afghanistan.
Kegagalan perisikan itu menimbulkan banyak persoalan mengenai risiko di masa depan, terutama sama ada Amerika Syarikat dapat mengawasi ancaman dari Afghanistan tanpa kehadiran di negara itu.
"Terutama ketika kita akan beralih ke strategi (anti pengganasan) jarak jauh, kita perlu memahami dengan tepat kesilapan yang berlaku dan apakah akibatnya dari segi kemampuan kita," kata Encik Schiff dalam satu pertemuan dengan wartawan.
Kejadian serangan dron yang mengsahkan kematian orang awam itu meningkatkan lagi kritikan terhadap pengunduran AS yang tidak terkawal, menimbulkan krisis terbesar berhubung dasar luar pentadbiran Presiden Joe Biden setakat ini.
Ramai rakan anggota Democrat Encik Biden, dan juga anggota Republican, mengkritik cara pengunduran itu dilakukan. Jawatankuasa kongres telah menjadualkan perbicaraan dengan pegawai tertinggi pentadbiran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.