Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lampin & kain buruk: Wanita Lubnan tidak mampu beli tuala wanita dek krisis ekonomi

Ramai wanita di Lubnan terpaksa guna surat khabar atau kain buruk selepas harga tuala wanita melonjak 500%.

Anggaran Waktu Membaca:
Lampin & kain buruk: Wanita Lubnan tidak mampu beli tuala wanita dek krisis ekonomi

Pekerja Izdihar menghasilkan tuala wanita daripada lampin. (Gambar: AFP/Joseph Eid)

Diterbitkan : 01 Jul 2021 11:22PM Dikemas Kini : 01 Jul 2021 11:25PM

BEIRUT: Dengan harga barangan melonjak tinggi di Lubnan dek krisis ekonomi paling teruk yang melanda negara itu, Sherine kini tidak lagi mampu membeli tuala wanita.

Jadi, setiap bulan, beliau terpaksa membuat tuala wanita sendiri menggunakan lampin bayi pakai buang atau kain buruk.

"Dengan harga barang begitu tinggi dan saya kecewa tidak dapat tanganinya, saya lebih sanggup kalau tidak ada haid sama sekali," kata wanita berusia 28 tahun itu kepada AFP, sambil menitiskan airmata.

Harga tuala wanita, yang kebanyakannya diimport, melonjak hampir 500 peratus sejak bermulanya krisis kewangan yang disifatkan oleh Bank Dunia sebagai salah satu yang paling teruk di dunia sejak 1850-an.

Bungkusan tuala wanita kini berharga antara 13,000 dengan 35,000 pound Lubnan - iaitu antara S$11.40 hingga S$31 - naik berbanding 3,000 pound (S$2.60) sebelum krisis ekonomi melanda.

Dengan lebih separuh penduduk di negara itu hidup dalam kemiskinan, puluhan ribu wanita kini terdesak mencari alternatif bagi tuala wanita.

Sherine pada mulanya membeli tuala wanita murah tetapi ia menyebabkan kulitnya gatal-gatal. Itu pun, harganya kini di luar kemampuan beliau.

"Buat masa ini, saya gunakan tuala dan cebisan kain," katanya.

"Pada mulanya, saya rasa macam nak mengalah ," kata ibu muda itu kepada AFP.

"Tetapi saya pilih untuk utamakan anak perempuan saya. Saya lebih sanggup belikan dia susu. Bagi diri saya sendiri, saya boleh guna apa sahaja yang ada."

Ini seringkali bermakna Sherine terpaksa menggunakan sebahagian lampin pakai buang yang diberikan oleh sebuah kedai kebajikan untuk anaknya, dengan memotong lampin tersebut menjadi dua untuk dijadikan dua tuala wanita.

Pada mulanya, "saya selalu periksa sama ada ada kebocoran dan kesan pada seluar," kata Sheirne.

SURAT KHABAR, TISU TANDAS

Mata wang Lubnan kerugian lebih 90 peratus berbanding dolar Amerika dalam pasaran gelap sejak musim luruh 2019 dan warga Lubnan yang dibayar gaji dalam mata wang tempatan menyaksikan kuasa membeli mereka menjunam.

Pemerintah negara itu sudah memberikan subsidi bagi barangan asas termasuk ubat-ubatan, minyak dan tepung untuk meringankan beban. Namun ia dikritik kerana gagal meletakkan tuala wanita dalam senarai itu.

Oleh kerana tiada sokongan daripada pemerintah, satu inisiatif yang dipanggil Dawrati (Haid Saya) dilancarkan tahun lalu untuk menangani isu kemiskinan yang kian meruncing di Lubnan.

Kumpulan itu mengagihkan produk-produk bagi haid secara percuma kepada wanita-wanita yang memerlukan, termasuk sebahagian yang sebelum ini merupakan masyarakat golongan pertengahan, yang semakin berkurangan.

"Wanita kelas pertengahan juga memerlukannya - seperti kakitangan bank yang gaji mereka dibayar dalam pound Lubnan dan sudah tidak lagi mencukupi," menurut pengasas bersama Line Masri.

Menurut Dawrati, separuh wanita yang tidak mampu membeli produk bagi haid menggunakan surat khabar, tisu tandas atau kain buruk sebagai ganti tuala wanita. Dua pertiga daripadanya adalah remaja yang tiada wang untuk membeli produk-produk kebersihan.

Malah, persatuan itu juga sedang bergelut untuk meneruskan usahanya.

"Kami tidak dapat memenuhi permintaan kerana jumlah derma sudah banyak berkurangan," kata Masri.

Di sebuah kedai kebajikan di Beirut yang didirikan untuk mengagihkan pakaian percuma kepada yang memerlukan, seorang pekerja bernama Izdihar berkata semakin ramai wanita berdepan kesukaran menguruskan haid mereka.

Menurut Izdihar beliau kadangkala terpaksa memberi lampin bayi di kedai itu kepada tiga anak perempuannya yang berusia 12 hingga 14 tahun.

Anak bongsunya, baru sahaja mula haid dan juga berdepan kesukaran.

"Dia sudah tidak keluar rumah apabila mengalami haid," menurut Izdihar.

SYRIA "SEKALI LAGI"

Para aktivis sedang mencari alternatif bagi tuala wanita.

Di kem pelarian Palestin Shatila di Beirut, persatuan antarabangsa NGO Days for Girls dan rakan tempatan WingWoman Lubnan sedang melatih pelarian wanita supaya belajar menjahit tuala wanita yang boleh diguna semula daripada kain berwarna-warni.

Anggota NGO Days For Girls dan WingWoman Lubnan melatih pelarian wanita menjahit tuala wanita yang boleh diguna semula. (Gambar: AFP/Joseph Eid)

Anggota NGO Days For Girls dan WingWoman Lubnan melatih pelarian wanita menjahit tuala wanita yang boleh diguna semula. (Gambar: AFP/Joseph Eid)

Setiap satu termasuk lapisan perlindungan dan lapisan boleh serap serta boleh dicuci dan digunakan semula sehingga tiga tahun.

Projek itu sudahpun mengagihkannya kepada masyarakat-masyarakat paling terjejas di Lubnan, termasuk di kem pelarian Syria.

Rima Ali, warga Syria dan ibu enam orang anak, adalah antara puluhan wanita yang belajar menjahit tuala wanita itu.

Wanita 45 tahun itu, yang melarikan diri dari perang di Syria sembilan tahun lalu, berkata beliau biasanya membeli hanya tuala wanita yang paling murah untuk dirinya dan tiga anak perempuan beliau tetapi ia menjadi terlampau mahal.

Dengan keluarganya menggunakan enam bungkus sebulan, tuala wanita yang boleh diguna semula dilihat sebagai pilihan lebih baik.

"Di Syria, ada hari-hari sukar di mana kami tidak mampu pun untuk membeli roti," katanya.

"Kami menggunakan kain yang sudah dipotong untuk digunakan" sebagai ganti tuala wanita.

"Saya tidak sangka kami perlu melalui pengalaman itu sekali lagi."

Sumber : AFP/NK/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan