Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Laluan khas paling dekat Kaabah buat jemaah berkerusi roda, warga tua

Di tengah-tengah kapasiti penuh semua ibadah solat dan umrah di Masjidil Haram, khidmat untuk golongan lemah dan kurang upaya tidak dilupakan.

Anggaran Waktu Membaca:

MAKKAH: Di tengah-tengah kapasiti penuh semua ibadah solat dan umrah di Masjidil Haram, khidmat untuk golongan lemah dan kurang upaya tidak dilupakan.

Meskipun dataran tawaf sudah dibuka sepenuhnya untuk para jemaah umrah, masih ada ruang paling dekat dengan Kaabah yang dikhususkan untuk golongan warga tua dan mereka yang berkerusi roda.

Khidmat terbaru untuk golongan tersebut di Masjidil Haram itu bermula sejak 1 November lalu.

SUKARELA TAWAR KHIDMAT KERUSI RODA

Encik Yusuf Musfi sudah bertugas di Masjidil Haram sejak lebih dua bulan lalu.

Namun, beliau bukan petugas tetap di masjid paling suci dalam Islam itu.

Encik Yusuf sebenarnya seorang pelajar di Makkah dan sukarelawan khidmat kerusi roda di kawasan mataf.

"Tempat kerja saya ketika masuk dari pintu Raja Abdul Aziz, sebelah kanan. Jadi kalau ada anggota keluarga yang susah jalan, boleh terus gunakan khidmat kerusi roda ini," kata beliau.

Sejak pembukaan kapasiti penuh Masjidil Haram pada 1 November lalu, laluan khas paling dekat dengan Kaabah, disediakan khusus untuk mereka yang berkerusi roda dan warga tua yang sukar berjalan.

Hasilnya, rukun bertawaf dapat diselesaikan dalam masa 10 hingga 15 minit saja.

Pada satu-satu masa, 45 kerusi roda dibenarkan untuk mengelilingi Kaabah agar tidak menimbulkan kesesakan.

Terdapat juga laluan kedua yang tidak begitu jauh daripada Kaabah untuk golongan yang tidak memerlukan kerusi roda tetapi mereka masih tidak selaju para jemaah umrah yang lebih sihat dan cergas.

Tugasan mendorong kerusi roda tidak diberikan gaji tetapi sepanjang bertugas dari 4 petang hingga 10 malam, seseorang petugas sukarela itu boleh menyempurnakan 15 kali tawaf atau 105 kali pusingan mengelilingi Kaabah.

TIADA KHIDMAT KERUSI RODA BAGI SAI

Bagaimanapun tiada khidmat tolak kerusi roda untuk rukun sai.

Sebaliknya para jemaah boleh menggunakan skuter elektrik untuk kedua-dua rukun tawaf dan sai dengan bayaran sekitar SR115 seorang.

Tetapi tawaf menggunakan khidmat skuter hanya ditawarkan di tingkat tiga saja manakala sai menggunakan skuter ada di ketiga-tiga tingkat.

Penggunaan khidmat skuter elektrik untuk kedua-dua rukun tawaf dan sai dijangka dapat diselesaikan dalam masa sejam. 

Sumber : BERITA Mediacorp/AA/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan