Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Laluan baru Malaysia-Indonesia akan dibina di Melaka, ambil masa 20 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
MELAKA: Menurut BERNAMA, laluan baru menghubungkan Malaysia dan Tanah Besar Sumatera, Indonesia melalui Masjid Tanah-Dumai melibatkan jarak kira-kira 120 kilometer (km) bakal dibangunkan dengan kerjasama syarikat swasta.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Ab Rauf Yusoh berkata laluan yang dirancang dibina dalam bentuk terowong atau jambatan itu dijangka mengambil masa 20 tahun sekali gus memberi impak kepada perkembangan ekonomi kedua-dua negara dalam pelbagai sektor khususnya perindustrian dan pelaburan.

"Cadangan pembinaan laluan ini telah dikemukakan pihak swasta dan menerusi kajian yang dilakukan, jarak antara pesisir pantai di Dumai, Indonesia ke Telok Gong, Masjid Tanah di sini hanya sejauh 47 km.

"Secara dasarnya kedua-dua negara telah bersetuju untuk perkara ini diperincikan dan langkah awal di peringkat kerajaan negeri Melaka, kita telah membawa semua agensi kerajaan melihat kawasan yang akan dibina jajaran baru ini semalam," katanya kepada pemberita selepas sesi temu bual dalam Program Apa Khabar YB bersama Melakafm pada Khamis (8 Sep), seperti dinukil BERNAMA.

Beliau berkata laluan berkonsepkan 'Satu Jalur Satu Jalan' itu akan menjadi ikon baru kedua-dua negara dan pelbagai prasarana akan turut dibangunkan termasuk kawasan penyuraian trafik dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Encik Ab Rauf berkata selain itu, kawasan perindustrian baru yang menempatkan pelbagai kegiatan perindustrian seperti semikonduktor dan automotif akan dibangunkan secara berperingkat di Masjid Tanah melibatkan keluasan kira-kira 2,023 hektar.

Katanya perancangan pembangunan kawasan perindustrian itu akan dilakukan menerusi Melaka Corporation sekali gus dijangka turut menyumbang kepada pembukaan bandar baru di Masjid Tanah.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan