Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lakukan kerja 'gila' libatkan kepercayaan agama, lelaki 38 tahun diarah jalani pemeriksaan psikiatrik

Seorang buruh, Helmee Othman, diperintahkan menjalani pemeriksaan psikiatrik walaupun mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan atas tuduhan mencuri patung penyembahan dan mencemarkan sebuah surau di Pelabuhan Klang.

Anggaran Waktu Membaca:
Lakukan kerja 'gila' libatkan kepercayaan agama, lelaki 38 tahun diarah jalani pemeriksaan psikiatrik

Patung yang ditemui di surau. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 28 Feb 2019 08:25AM Dikemas Kini : 28 Feb 2019 08:27AM

KLANG: Seorang buruh, Helmee Othman, diperintahkan menjalani pemeriksaan psikiatrik walaupun mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan atas tuduhan mencuri patung penyembahan dan mencemarkan sebuah surau di Pelabuhan Klang.

Helmee, 38 tahun, mengaku bersalah di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman kerana mencuri patung berkenaan dan mencemari surau Sabilul Huda, Taman Pandamar Indah Pelabuhan Klang pada 4.15 petang 20 Feb. Dia juga mengaku bersalah di hadapan Majistret Muhammad ‘Azzam Abidin bagi tuduhan mencemari surau yang sama pada 2.45 petang 23 Feb.

Bagaimanapun, kedua-dua majistret memutuskan adalah tidak selamat untuk menerima pengakuan bersalah tertuduh lalu mengarahkan Helmee dihantar menjalani pemeriksaan psikiatrik selama sebulan.

Kedua-dua majistret menetapkan 27 Mac depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan psikiatri.

Sejurus selepas Helmee mengaku bersalah, peguamnya Nur Aida Md Zainuddin memohon mahkamah agar menyemak terlebih dahulu tahap kewarasan dan akal tertuduh sebelum menerima pengakuan bersalahnya.

AMALKAN AJARAN ISLAM MENYIMPANG

"Mahkamah perlu semak terlebih dahulu tahap kewarasan dan akal tertuduh memandangkan seorang yang waras dan normal tidak akan melakukan perbuatan yang melibatkan isu sensitif iaitu kepercayaan agama,” katanya.

Bagi kesalahan mencemari surau, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Helmee juga didakwa mencuri patung penyembahan milik Cheong Lin Chai, 51, di sebuah rumah di Pandamaran, antara jam 4.00 petang hingga 9.30 malam pada 20 Mac.

Kesalahan itu di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, didenda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Media pada Isnin (25 Feb) melaporkan polis menahan seorang lelaki berhubung kejadian penemuan tiga patung berhala di surau berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli dilaporkan sebagai berkata bahawa lelaki itu dipercayai mempunyai masalah mental 'gila isim' (mengamalkan ajaran Islam yang menyimpang) selepas mengaku pernah belajar ilmu agama yang salah di sebuah negara jiran.

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan