Skip to main content

Dunia

Lahir tanpa lengan tidak halang lelaki Pakistan mahir permainan snuker

Muhammad Ikram, 32, mengarahkan sasarannya, menegangkan lehernya dan dengan menggunakan dagunya, menolak bola putih untuk disasarkan ke bola lain menuju ke penjuru meja. Walaupun dilahirkan tanpa lengan, Ikram berjaya menguasai permainan snuker

Anggaran Waktu Membaca:
Lahir tanpa lengan tidak halang lelaki Pakistan mahir permainan snuker

Muhammad Ikram dari Pakistan menguasai permainan snuker meskipun dilahirkan tanpa lengan (Gambar: REUTERS/Mohsin Reza)

Diterbitkan : 26 Oct 2020 11:34PM Dikemas Kini : 26 Oct 2020 11:39PM

SAMUNDRI: Muhammad Ikram, 32, mengarahkan sasarannya, menegangkan lehernya dan dengan menggunakan dagunya, menolak bola putih untuk disasarkan ke bola lain menuju ke penjuru meja. Walaupun dilahirkan tanpa lengan, Ikram berjaya menguasai permainan snuker.

Di Samundri, sebuah pekan luar bandar di wilayah Punjab, Ikram mengambil masa selama lapan tahun untuk mahir menolak bola kiu menggunakan dagunya, dan sekarang beliau boleh bersaing dengan sesiapa pun.

"Saya telah bertemu para pemain snuker yang sangat handal yang mengatakan kepada saya bahawa saya berbakat, dan bahawa saya boleh mengharumkan nama Pakistan," kata Ikram kepada Reuters Television.

Beliau yang dilahirkan dalam keluarga sembilan beradik yang hidup miskin, tidak berpelajaran dan menjalani kehidupan serba kekurangan semasa kecil. Sumber hiburan utamanya adalah menyaksikan orang lain bermain snuker, permainan yang tiada siapa pernah bayangkan beliau boleh mainkan. Beliau tidak ingat bagaimana idea itu tercetus, tetapi beliau mula berlatih secara rahsia.

"Beliau ghairah melihat kanak-kanak lain bermain. Beliau sering berharap mempunyai sepasang lengan agar dapat bermain seperti mereka,” kata ibunya, Razia Bibi. "Kemudian beliau mula menggunakan dagunya."

Mian Usman Ahmed, pemilik bersama Cuemaster Snooker Club, berkata Ikram telah memenangi beberapa pertandingan tempatan sejak dua tahun lalu.

"Beliau akan datang ke kelab dan minta agar dibenarkan bermain. Kami akan melihat lengannya dan berasa beliau tidak berupaya,” kata Ahmed.

"Beliau bertegas kami membenarkannya ... untuk membuktikan dirinya. Apabila beliau melakukannya, kami melihat beliau sebenarnya sangat bagus. "

Ikram berkata orang ramai menghargai semangatnya yang kuat, dan beberapa tempat makan memberinya makan percuma, dengan para pelayan secara sukarela menyuapnya dengan sudu.

"Tuhan tidak memberi saya lengan, tetapi Dia memberikan saya keberanian. Dan saya telah menggunakan semangat itu untuk memenuhi cita-cita saya. Jadi, tiada sesiapa yang patut hilang harapan,” kata Ikram ketika ditanya apa yang ingin beliau katakan kepada golongan kurang upaya.

Beliau berharap satu hari nanti, dengan bantuan pemerintah, beliau dapat bermain di peringkat antarabangsa.

Pakistan mempunyai 3.3 juta orang kurang upaya, menurut perangkaan rasmi, namun tinjauan lain menganggarkan jumlah sebenar adalah setinggi 13 peratus daripada 210 juta penduduk.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita