Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lagu Tahun Baru Cina ini dinyanyikan dalam Bahasa Melayu, papar perpaduan budaya

Anggaran Waktu Membaca:
Lagu Tahun Baru Cina ini dinyanyikan dalam Bahasa Melayu,  papar perpaduan budaya

Para artis video muzik Dong Dong Qiang, lagu Tahun Baru Cina dalam Bahasa Melayu. (Foto: Ihsan MVM Production)

KUALA LUMPUR: Lagu yang didendangkan bukan sebarang lagu Tahun Baru Cina.

Dari iramanya yang ceria, lirik yang positif, hinggalah kepada pakaian artisnya yang berwarna-warni mencerminkan perayaan yang penuh berkat.

Namun populariti lagu Dong Dong Qiang yang mula berkumandang7 Januari lalu, terletak juga pada barisan penyanyinya – mereka berbangsa Melayu dan mendendangkannya dalam Bahasa Melayu.

Lagu itu juga mungkin yang pertama sebuah lagu asal Tahun Baru Cina dinyanyikan dalam bahasa kebangsaan Malaysia, kata penerbit dan penggubahnya, Nevin Hiong.

Rakyat Malaysia rata-rata memuji usaha unik ini.

Dengan lirik yang lazim didengari iaitu “gong xi gong xi” dan “dong dong qiang” dengan diselami lirik Melayu, lagu itu menampilkan Ayie Floor, 88 tahun, Harry Khalifah, Sarah Suhairi, Beby Acha, Lia Aziz dan Aidilia Hilda.

“Ketika pemilik label rekod MVM Production menghubungi saya untuk menerbitkan sebuah lagu Tahun Baru Cina untuk artis Melayu mereka, tidak pula beliau menyebut ia perlu digubah dalam Bahasa Melayu.

“Beliau hanya menetapkan tiga syarat iaitu lagu tersebut perlu mengandungi ‘gong xi ni’, ‘dong dong qiang’ dan ‘huat ah’. Ini semua ungkapan yang biasa didengar oleh rakan-rakan Melayu kita,” kata Hiong kepada Mediacorp.

Ungkapan-ungkapan itu biasa diucapkan semasa Tahun Baru Cina, yang bermaksud kemakmuran.

“Ketiga-tiga ungkapan ini adalah dalam Bahasa Cina dan lagu pula akan didendangkan oleh artis Melayu, jadi saya pun terfikir, mengapa tidak kita gabungkan irama gaya Melayu dengan alat muzik Cina, dan hasilkan sesuatu yang istimewa?” tambah Hiong.

Rentak lagu yang menarik ini kemudian digandingkan dengan lirik ciptaan pengurus penerbitan yang dikenali sebagai Uncle Chain. Setelah dimuat naik ke YouTube, lagu tersebut dengan cepat berjaya menambat hati pendengar di Malaysia. Ramai memujinya kerana menggambarkan hubungan erat antara kaum di negara itu.

“Niat kami asalnya untuk menerbitkan lagu Tahun Baru Cina, namun bertukar menjadi lagu patriotik pula,” kata Hiong, mengulas sambutan luar dugaan yang diterima.

MESEJ PERPADUAN

Dalam video muziknya pula, tanglung merah dan bunga ume (plum blossom) menghiasi set sementara para artis kelihatan mencuba seni kaligrafi Cina dan bermain gendang tarian singa.

Sambil memakai pakaian tradisional Cina dan Melayu, mereka menyanyikan: “Dari luar kita berbeza, hati tetap sama. Kita bagaikan pokok, kuat pada akarnya.”

Dalam satu babak, irama alat muzik Cina diganti dengan gendang Melayu dan Ayie menunjukkan kebolehannya menari zapin, satu tarian tradisional Melayu.

Malah, beberapa anggota kumpulan tarian singa di dalam lagu tersebut juga berbangsa Melayu, dedah Hiong.

Setiap babak menggambarkan keharmonian antara budaya. Namun, menurut Hiong, beliau dan ahli kumpulan pada asalnya tiada niat pun untuk mempromosi keharmonian kaum.

Sebaliknya, “ia lebih kepada ingin mencuba pelbagai idea.” Ini merupakan hasil kreativiti sekumpulan penggiat seni Cina dan Melayu yang pernah berkolaborasi sebelumnya.

Bagi Sarah, pengalamannya dalam penerbitan Dong Dong Qiang membuka lagi matanya kepada seni budaya masyarakat Cina.

Ujar Sarah: “Saya belum pernah cuba menyanyi dalam bahasa lain, apatah lagi lagu perayaan kaum lain.”

Walaupun “gong xi” merupakan ucapan selamat yang biasa diucapkan bagi Tahun Baru Cina, menyebutnya dengan betul merupakan satu cabaran buat beliau.

“Sebutannya bukan ‘gong’ atau ‘kong’ tetapi ‘gung’.

“Amat sukar bagi kami untuk mendapatkan bunyi dan sebutan yang tepat sedari awal. Banyak cabaran tetapi kami cukup gemar lagu ini,” katanya.

Penyertaannya dalam penerbitan Dong Dong Qiang menjadi inspirasi kepada Sarah Suhairi untuk mempelajari lebih mendalam budaya yang pelbagai di Malaysia.

Setakat ini, Dong Dong Qiang telah memperoleh lebih 500,000 lebih tontonan di Youtube.

Menurut Hiong beliau turut menerima permintaan daripada stesen-stesen radio Cina tempatan untuk memainkan lagu tersebut.

Label rekod mereka juga telah dihubungi untuk mengadakan persembahan, tambah Sarah.

Sempena Tahun Harimau, beliau berharap rakyat Malaysia akan menghargai kepelbagaian budaya di negara itu.

“Saya berharap setiap daripada kita saling memahami budaya masing-masing dan tidak hanya mencari kesalahan orang lain. Semoga tahun ini menjadi tahun di mana kita saling mempelajari antara satu sama lain,” ujar beliau.

Sumber : CNA/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan