Skip to main content

Dunia

Lagi kejadian tembakan rambang di AS, kali ini di bangunan FedEx

Sejumlah orang ditembak dalam satu kejadian pada Khamis (15 Apr) di bandar Indianapolis di Amerika Syarikat oleh seorang penyerang yang dipercayai membunuh dirinya selepas itu, menurut polis.

Anggaran Waktu Membaca:
Lagi kejadian tembakan rambang di AS, kali ini di bangunan FedEx

(Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 16 Apr 2021 05:51PM Dikemas Kini : 16 Apr 2021 05:57PM

WASHINGTON: Sejumlah orang ditembak dalam satu kejadian pada Khamis (15 Apr) di bandar Indianapolis di Amerika Syarikat oleh seorang penyerang yang dipercayai membunuh dirinya selepas itu, menurut polis.

Tiada maklumat diberikan tentang tahap kejadian atau angka korban di kemudahan FedEx berdekatan lapangan terbang antarabangsa itu.

Seorang lelaki yang berkata dia bekerja di tempat itu memberitahu WISH-TV dia ternampak penyerang mula menembak.

"Saya terlihat seorang lelaki dengan sejenis sub-mesingan, sepucuk senapang automatik, dan dia menembak. Saya segera tunduk dan menjadi takut," kata Jeremiah Miller.

Jurucakap polis Genae Cook memberitahu wartawan bahawa para pegawai sudah bertindak terhadap "kejadian penembak aktif", sambil menambah mereka percaya pelaku meninggal dunia dengan membunuh diri.

Cik Cook berkata pihak berkuasa menilai tiada lagi bahaya segera kepada keselamatan awam.

Polis menyatakan beberapa orang ditembak namun tidak mengesahkan jumlahnya mahupun status mereka.

Seorang jurucakap FedEx mengesahkan kepada AFP bahawa kemudahannya menjadi tempat kejadian tembakan dan pihak syarikat sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa.

"Keselamatan adalah keutamaan kami, dan fikiran kami bersama mereka yang terjejas," menurut kenyataan syarikat itu.

Bangunan syarikat penghantaran itu dilaporkan menggajikan lebih 4,000 orang.

Video lintas langsung menunjukkan pita polis di tapak kejadian, yang menyusuli beberapa kejadian tembakan rambang baru-baru ini.

Hujung bulan lalu, empat orang termasuk seorang kanak-kanak, ditembak mati dalam sebuah bangunan pejabat di California selatan.

Pada 22 Mac, 10 orang mati ditembak di sebuah kedai runcit di Boulder, Colorado.

Kejadian itu menyusuli kurang seminggu setelah seorang lelaki menembak maut lapan orang, termasuk enam wanita berketurunan Asia, di Atlanta, Georgia.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita