Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lagi 6 pendatang asing dari Batam lemas selepas bot karam dekat perairan Pontian

Anggaran Waktu Membaca:
Lagi 6 pendatang asing dari Batam lemas selepas bot  karam dekat perairan Pontian

Antara yang terselamat dalam kejadian bot karam di perairan Pontian . Gambar Ikhsan: Maritim Johor

PONTIAN: Seramai tujuh pendatang tanpa izin yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam akibat dipukul ombak kuat di perairan Pontian awal pagi tadi (18 Jan), dengan seorang daripadanya terselamat manakala enam yang lain ditemui lemas di kedudukan 3.5 batu nautika dari lokasi kejadian.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Nurul Hizam Zakaria berkata sebelum itu, empat wanita dan dua lelaki diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan pada 10.00 pagi tadi dan dengan penemuan terbaru itu menjadikan kesemua 13 penumpang sudah dijumpai. 

“Dua mayat wanita dan seorang wanita terselamat ditemui pada 1.00 tengah hari, kemudian empat mayat wanita terapung lengkap berpakaian dijumpai pada pukul 2.30 petang. Dengan penemuan terbaru itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) ditamatkan pada pukul 3.45 petang ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Persatuan Nelayan Pontian, Pontian Besar hari ini, Nurul Hizam berkata menurut siasatan awal bot itu yang dipandu dua tekong lelaki dan membawa 11 wanita bertolak dari Pulau Jalung, Batam kira-kira pukul 9.00 malam tadi.

"Bagaimanapun, sebelum sampai ke destinasi, bot tersebut dipercayai dipukul ombak kira-kira setinggi 1.5 meter hingga tiga meter di kedudukan 4.2 batu nautika dari perairan Pontian, tengah malam tadi," katanya.  

Pada operasi Carilamat berkenaan yang diaktifkan pada pukul 10.20 pagi, seramai 58 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi turut terlibat. 

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mohamad Shofee Tayib berkata kesemua mereka yang berusia antara 25 hingga 35 tahun itu dipercayai mahu masuk ke Malaysia secara haram melalui jeti di Api-Api. 

"Seorang daripada wanita berkenaan, kini kritikal dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah, manakala yang lain dihantar ke Hospital Pontian. 

"Bagaimanapun, dua lelaki yang dipercayai tekong ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian dan akan dipohon reman, kedua-dua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," kata Mohamad Shofee. 

Pada kejadian tengah malam tadi, sebuah bot fiber dengan 200 kuasa kuda sepanjang 6.096 meter, membawa 13 pendatang tanpa izin iaitu dua tekong lelaki dan 11 wanita untuk masuk ke Malaysia secara haram, karam di perairan berkenaan.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan