Skip to main content

Dunia

Lagi 6 jenama sardin ditarik balik kerana ada cacing

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menarik balik enam lagi jenama produk ikan sardin dalam tin dari pasaran kerana disahkan mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.

Anggaran Waktu Membaca:
Lagi 6 jenama sardin ditarik balik kerana ada cacing

(Gambar: Laman Kementerian Kesihatan Malaysia)

Diterbitkan : 29 Jun 2018 03:01AM Dikemas Kini : 29 Jun 2018 03:20AM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menarik balik enam lagi jenama produk ikan sardin dalam tin dari pasaran kerana disahkan mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.

Ketua Pengarahnya Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam produk ikan sardin tersebut daripada jenama Cinta, Sea Fresh, HS Brand, King Cup, Bintang dan TC Boy.

Beliau berkata KKM juga mengenakan tindakan Tahan, Uji dan Lepas terhadap pengimportan produk ikan dalam tin di semua pintu masuk negara.

“Tahan, Uji dan Lepas merupakan tindakan di mana sampel akan diambil untuk analisis dan produk tersebut hanya akan dilepaskan sekiranya keputusan analisis menunjukkan tiada pelanggaran dikesan iaitu dalam hal ini cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp. 

“Sementara bagi produk ikan dalam tin keluaran tempatan, verifikasi di semua kilang pengeluaran dijalankan oleh KKM,” katanya.

RISIKO KESIHATAN RENDAH

Dr Noor Hisham turut menjelaskan risiko kepada kesihatan bagi produk ikan dalam tin amat rendah kerana cacing tersebut sudah mati disebabkan proses memasak atau pengetinan.

Katanya, Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak terlibat dalam mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan sebagai satu kesalahan.

Sekiranya sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 (S$34,000) dan/atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun.

Pengguna yang curiga terhadap isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian terdekat atau menghubungi KKM melalui laman http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita