Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lagi 21 maut, sedang Korea Utara bendung jangkitan COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
Lagi 21 maut, sedang Korea Utara bendung jangkitan COVID-19

(Gambar: Kim Won Jin/AFP)

Diterbitkan : 14 May 2022 12:59PM Dikemas Kini : 14 May 2022 12:59PM

SEOUL: Korea Utara pada Sabtu (14 Mei) melaporkan lagi 21 kematian akibat 'demam', dua hari selepas mengumumkan kes pertama COVID-19 dalam negeri dan menguatkuasakan perintah berkurung di seluruh negara itu. 

Media tempatan melaporkan 174,440 kes demam dan 21 kematian pada Jumaat (13 Mei) sedang ia beralih ke "sistem kuarantin kecemasan maksimum" bagi membendung penularan virus tersebut dalam kalangan penduduk yang belum divaksin. 

"Pada 13 Mei, 174,440 kes demam dilaporkan dalam negara, dengan 81,430 pesakit pulih dan 21 meninggal dunia," menurut laporan agensi berita KCNA. 

Laporan itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang perincian mengenai sama ada para mangsa diuji positif COVID-19, namun para pakar berkata negara itu tidak mempunyai keupayaan untuk menjalankan ujian secara besar-besaran. 

"Jumlah pesakit di seluruh negara adalah 524,440, dengan 234,630 sudah pulih sepenuhnya, 288,810 sedang menerima rawatan, manakala jumlah kematian setakat ini adalah 27," tambah agensi berita itu. 

Korea Utara mengadakan mesyuarat kedua badan penggubal dasar tertinggi negara tersebut pada minggu ini yang dipengerusikan oleh Encik Kim Jong Un, yang berkata bahawa penularan COVID-19 menyebabkan "keadaan huru-hara" di negara itu, lapor KCNA. 

Pada Khamis (12 Mei), negara tersebut mengesahkan bahawa penduduk yang jatuh sakit di ibu kota Pyongyang diuji positif Omicron, termasuk seorang penduduk yang meninggal dunia. 

Ini merupakan pengesahan pertama Korea Utara tentang jangkitan COVID-19 di negara itu dan menandakan kegagalan selama dua tahun untuk membendung penularan koronavirus dengan ekonominya terjejas teruk akibat penularan virus tersebut.

Media tempatan melaporkan bahawa kematian itu berlaku akibat "kelalaian, termasuk dos berlebihan, disebabkan oleh kurang pengetahuan tentang kaedah rawatan saintifik". 

Korea Utara sebelum ini menolak tawaran China untuk membekalkannya dengan vaksin COVID-19 serta skim perkongsian vaksin, Covax, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sumber : AFP/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa