Lagi 205 pelarian Rohingya masih lolos; lebih 300 sudah diberkas semula polis M'sia
Gambar: BERNAMA
NIBONG TEBAL: Enam daripada 528 tahanan Rohingya, yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, maut akibat dilanggar kenderaan semasa melintasi Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala selatan iaitu berhampiran kawasan Jawi di Nibong Tebal pagi tadi (20 Apr).
Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata dalam insiden pada pukul 6.50 pagi itu, tahanan yang meninggal dunia terdiri daripada dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan masing-masing seorang kanak-kanak lelaki serta perempuan. Semua jenazah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.
"Sebaik berlaku kemalangan sehingga menyebabkan enam warga asing tersebut maut, sekumpulan 229 warga asing yang melarikan diri ke lebuh raya itu mengambil keputusan untuk tidak melintas lebuh raya tersebut kerana bimbang turut terlibat dalam kemalangan.
“Mereka bertindak menyusuri tepi jalan (lebuh raya) itu. Mereka sendiri tidak tahu ke mana destinasi yang mahu dituju sebaik melarikan diri dari depot tersebut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Encik Shuhaily berkata orang ramai yang menyedari kejadian itu menghubungi polis.
Pihak polis menahan semua warga asing itu yang terdiri daripada kanak-kanak sehingga warga emas.
Awal dari itu, seramai 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya - yang merupakan tahanan di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap yang terletak di Jalan Besar Relau dekat Nibong Tebal - melarikan diri dari depot tersebut dalam kejadian pada awal pagi hari ini.
Mohd Shuhaily berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 4.30 pagi dan terus melancarkan operasi mengesan kesemua mereka yang meloloskan diri tersebut.
"Seramai 664 etnik Rohingya ditempatkan di situ dengan 528 daripadanya melarikan diri pagi tadi...kami berjaya tahan 229 warga asing di kawasan lebuh raya dan terdahulu, seramai 88 orang yang melarikan diri itu telah berjaya ditahan oleh penduduk kampung dan Jabatan Imigresen di kawasan tidak jauh dari depot tersebut," katanya.
Beliau menambah ketika ini, polis Pulau Pinang melancarkan operasi besar-besaran bagi mengesan 205 tahanan lagi yang terdiri daripada kanak-kanak sehingga warga emas. Mereka dipercayai masuk ke negeri itu (Pulau Pinang) dari pusat tahanan, yang terletak di Jalan Besar Relau di Bandar Baharu di Kedah, untuk melarikan diri.
Menurut beliau, pihak polis juga mengadakan sekatan jalan raya di susur keluar dan susur masuk lebuh raya di negeri itu bagi mengesan saki-baki warga asing yang melarikan diri.
"Dari segi siasatan, ia akan dijalankan oleh Polis Kontijen Kedah dan Ketua Polis Kedah akan memberikan laporan terperinci serta maklumat terkini mengenai perkembangan kes ini," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.