Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lagi 17 Ahli Parlimen M'sia selesai beri keterangan berhubung perhimpunan pembangkang

Seramai 17 lagi Ahli Parlimen pembangkang Malaysia selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini (9 Ogos) berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka sebelum berarak ke bangunan Parlimen pada 2 Ogos lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lagi 17 Ahli Parlimen M'sia selesai beri keterangan berhubung perhimpunan pembangkang

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air, Dr Mahathir Mohamad, tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana pada petang 9 Ogos untuk memberi keterangan kepada polis berkaitan perhimpunan Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 09 Aug 2021 08:06PM Dikemas Kini : 09 Aug 2021 08:10PM

KUALA LUMPUR: Seramai 17 lagi Ahli Parlimen pembangkang Malaysia selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini (9 Ogos) berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka sebelum berarak ke bangunan Parlimen pada 2 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim, yang mengesahkan perkara itu, berkata pihaknya akan memanggil beberapa lagi Ahli Parlimen untuk memberi keterangan dalam tempoh terdekat ini.

“Ya, 17 Ahli Parlimen telah selesai dipanggil beri keterangan pada hari ini,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, tinjauan Bernama di IPD Dang Wangi mendapati mereka yang hadir pada sebelah pagi ialah Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, William Leong Jee Keen (Selayang), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Charles Santiago (Klang), Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat), Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Fuziah Salleh (Kuantan) dan P Prabakaran (Batu).

Yang hadir selepas tengah hari pula ialah Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Chan Ming Kai (Alor Star), Wong Chen (Subang), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Anthony Loke Siew Fook (Seremban) dan Nor Azrina Surip (Merbuk).

Di Putrajaya, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad, serta presiden parti itu, yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir, dilapor turut diambil keterangan di Yayasan Kepimpinan Perdana antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang. 

Kenyataan mereka dirakam oleh empat pegawai polis Unit Jenayah Terkelas Bukit Aman untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. 

Sabtu lalu, 20 Ahli Parlimen memberi keterangan berhubung perkara itu.

Pada 2 Ogos, sekumpulan Ahli Parlimen cuba memasuki pekarangan bangunan Parlimen untuk mendesak supaya Mesyuarat Khas Dewan Rakyat diteruskan. Sidang khas lima hari yang mengikut jadual berakhir pada 2 Ogos itu ditangguh atas nasihat Kementerian Kesihatan berikutan penularan COVID-19.

Kesemua Ahli Parlimen itu kemudian bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarah oleh polis.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan