Skip to main content

Dunia

Ladang ternakan M'sia didenda RM15,000 kerana tipu gred telur

Anggaran Waktu Membaca:
Ladang ternakan M'sia didenda RM15,000 kerana tipu gred telur

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 03 Jun 2022 07:15PM Dikemas Kini : 03 Jun 2022 07:17PM
AYER KEROH: Tindakan sebuah ladang ternakan memalsukan gred telur ayam yang dijual di pasaran membawa padah apabila dijatuhi hukuman denda RM15,000 (S$4,714) oleh Mahkamah Seksyen Ayer Keroh pada Jumaat (3 Jun).

Syarikat Ladang Ternakan Prudence Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya dikenakan denda berkenaan selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim, Nariman Badruddin, seperti dinukil Astro AWANI.

Mengikut pertuduhan, syarikat tersebut didapati membekalkan 1,500 biji telur ayam gred B yang menggunakan satu perihal dagangan palsu membabitkan saiz telur berkenaan yang tidak mengikut standard ditetapkan.

Kesalahan itu dikesan kira-kira jam 10.48 pagi di sebuah pasar raya borong di Plaza Pandan Malim, Balai Panjang, Melaka Tengah, Melaka pada 22 Oktober 2021.

Mengikut fakta kes, pemalsuan gred telur ayam berkenaan dikesan oleh Bahagian Penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka selepas menerima aduan daripada orang awam selepas telur gred B yang dijual disyaki adalah telur gred D, lapor Astro AWANI.

Uji timbang oleh pihak serbuan mendapati timbangan telur gred B yang dijual adalah antara 0.5 hingga 0.56 gram kurang daripada standard berat yang ditetapkan oleh ‘Malaysian Standard Fresh Chicken Eggs-Specification’.

Justeru syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dibaca bersama Seksyen 6(1)(b) akta sama yang boleh didenda sehingga RM250,000 (S$78,579) bagi kesalahan pertama manakala RM500,000 (S$157,158) bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Awal dari itu, pendakwaan yang dikendalikan pegawai pendakwa KPDNHEP Melaka, Muhamad Ashraf Nashruddin Ahmad Nazri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada individu lain.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan dengan alasan tidak pernah melakukan sebarang kesalahan sepanjang sepuluh tahun berniaga selain mengakui kecuaian, lapor Astro AWANI.

Hakim Nariman pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman denda RM15,000 (S$4,714)serta tiga bulan penjara sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita