Skip to main content

Dunia

Ladang getah dan sawit musnah dirosakkan gajah liar; 20 penduduk rugi RM500,000

Seramai 20 penduduk kerugian RM500,000 (S$163,000) apabila ladang getah dan sawit seluas 40 hektar milik mereka di Kampung Kala Baharu dekat sini dimusnahkan seekor gajah liar jantan sejak tiga bulan lepas.

Anggaran Waktu Membaca:
Ladang getah dan sawit musnah dirosakkan gajah liar; 20 penduduk rugi RM500,000

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 05 Jul 2020 02:15AM Dikemas Kini : 05 Jul 2020 02:17AM

GUA MUSANG: Seramai 20 penduduk kerugian RM500,000 (S$163,000) apabila ladang getah dan sawit seluas 40 hektar milik mereka di Kampung Kala Baharu dekat sini dimusnahkan seekor gajah liar jantan sejak tiga bulan lepas.

Abdullah Stapa, 37, berkata mereka melabur kira-kira RM100,000 (S$32,500)seorang bagi membuka ladang itu lima tahun lalu dan dijangka mengeluarkan hasil tahun hadapan, namun berasa kecewa apabila pokok getah dan sawit itu musnah sekelip mata apabila diserang gajah hampir setiap malam.

“Tidak banyak gajah yang ditemui, hanya seekor gajah jantan tetapi ganas, ia memakan kulit pokok getah hingga pokok itu menunggu mati,” katanya ketika ditemui di ladangnya di sini pada Sabtu (4 Jul).

Abdullah berkata pelbagai usaha dilakukan penduduk bagi menghalau gajah terbabit termasuk pemasangan dawai elektrik, namun tidak memberi kesan kepada haiwan itu.

Seorang lagi penduduk, Zakaria Setapa, 37, pula sudah buntu memikirkan keadaan yang berlaku dan kini hanya tinggal beberapa batang pokok sawit yang masih elok.

“Saya menggunakan duit simpanan untuk modal membuka ladang dan berharap dapat kembali hasil ladang dan boleh menyimpan semula,” katanya.

Justeru, mereka meminta pihak berkuasa termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertindak segera menangkap gajah itu bagi mengelakkan pokok getah dan sawit yang masih elok habis dimusnahkan haiwan berkenaan.

Tinjauan Bernama ke kawasan itu mendapati kebanyakan penduduk bimbang masuk ke ladang milik mereka setelah seorang daripadanya terserempak dengan gajah liar terbabit yang sedang merosakkan pokok sawit pada 5.30 petang, Jumaat.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita