Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kyiv, Mosko saling tuding jari langgar gencatan senjata

Anggaran Waktu Membaca:
Kyiv, Mosko saling tuding jari langgar gencatan senjata

Presiden Rusia Vladimir Putin (kiri) dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy (kanan). (Gambar: Ramil SITDIKOV / POOL / AFP, WIN MCNAMEE / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP)

Diterbitkan : 21 Apr 2025 09:57AM Dikemas Kini : 21 Apr 2025 11:17AM
MOSKO/KYIV: Rusia dan Ukraine saling menuding jari pada Ahad (20 Apr) berhubung kegagalan kedua-dua pihak mematuhi gencatan senjata selama sehari yang diumumkan oleh Presiden Rusia Vladimir Putin.

Kedua-dua pihak mendakwa beratus-ratus serangan dilaksanakan sepanjang tempoh itu. Kremlin pula menyatakan ia tidak menerima sebarang arahan untuk melanjutkan gencatan senjata itu.

Presiden Putin yang mengerahkan beribu-ribu askar Rusia ke Ukraine pada Februari 2022, mengarahkan tenteranya supaya menghentikan semua aktiviti tentera di medan pertempuran sehingga waktu tengah malam waktu tempatan (2100GMT) pada Ahad.

Agensi berita TASS menukil jurucakap Kremlin Dmitry Peskov yang berkata tiada arahan dari Presiden Putin untuk melanjutkan gencatan senjata itu.

"Tiada arahan lain dibuat," Peskov dinukil sebagai berkata apabila ditanya jika tempoh pelaksanaan gencatan senjata itu boleh dilanjutkan.

Di Washington, Jabatan Negara Amerika menyatakan ia mengalu-alukan jika gencatan senjata itu dilanjutkan.

Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha berkata tindakan Mosko dalam beberapa hari mendatang ini "akan mendedahkan sikap sebenar Rusia terhadap usaha perdamaian Amerika" dan gencatan senjata selama 30 hari yang diusulkan.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mendakwa Rusia hanya berpura-pura mematuhi gencatan senjata yang dilaksanakan sempena Hari Paskah, namun ia tetap melancarkan ratusan serangan pada Sabtu malam, dan lebih banyak lagi pada hari Ahad.

Dalam catatan di wadah X, Presiden Zelenskyy berkata Rusia melancarkan 67 serangan dari waktu tengah malam hingga pukul 8.00 malam waktu tempatan (1700 GMT).

"Sama ada Putin tidak berupaya mengawal sepenuhnya tenteranya, atau situasi ini membuktikan bahawa di Rusia, mereka tidak berhasrat menamatkan perang dan hanya berminat memperolehi liputan PR yang memihak kepada mereka," kata Encik Zelenskyy.

"Namun, tiada sebarang amaran serangan udara hari ini. Justeru, ini adalah format gencatan senjata yang telah dicapai dan paling mudah untuk dilanjutkan," katanya, sambil mengusulkan supaya Rusia menghentikan serangan dron dan peluru berpandu terhadap sasaran awam selama tempoh sekurang-kurangnya 30 hari.

Namun jika Rusia tidak bersetuju, ia adalah bukti bahawa ia berhasrat hanya untuk melakukan perkara-perkara yang mengorbankan jiwa dan melanjutkan perang, kata Encik Zelenskyy.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan