Skip to main content

Dunia

Kumpulan terakhir tahanan Palestin dibebaskan dalam fasa pertama gencatan senjata Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan terakhir tahanan Palestin dibebaskan dalam fasa pertama gencatan senjata Gaza

Seorang bekas tahanan Israel dibebaskan sebagai sebahagian daripada kumpulan ketujuh dalam perjanjian pertukaran tahanan-tebusan, disambut di Tebing Barat pada 27 Februari, 2025. (Gambar: Zain Jaafar/AFP)

Diterbitkan : 27 Feb 2025 06:24PM Dikemas Kini : 27 Feb 2025 06:27PM
RAMALLAH: Lebih 640 tahanan Palestin dibebaskan dari penjara Israel pada malam Khamis (27 Feb) sebagai sebahagian daripada kumpulan ketujuh dan terakhir dalam perjanjian pertukaran di bawah fasa pertama gencatan senjata Gaza, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Pembebasan yang pada asalnya dijadualkan pada Sabtu lalu terpaksa ditangguhkan. 

Seramai 37 tahanan tiba di Ramallah dan disambut oleh ratusan rakyat Palestin serta ahli keluarga di hadapan Istana Kebudayaan Ramallah dan Dataran Muzium Mahmoud Darwish.

Sementara itu, lima tahanan kembali ke Baitulmaqdis yang diduduki. 

Beberapa jam selepas itu, lebih 400 tahanan yang kebanyakannya ditahan semasa serangan darat Israel ke Gaza, mula tiba di wilayah yang dilanda perang itu. 

Beberapa tahanan dibawa ke Hospital Eropah Gaza di Khan Younis sejurus tiba di wilayah itu.

Seramai 97 tahanan lagi—kebanyakannya menjalani hukuman penjara seumur hidup di penjara Israel—dihantar ke Mesir sebagai destinasi pertama mereka sebelum diterima oleh beberapa negara lain. 

Menurut Persatuan Tahanan Palestin dan Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan, kumpulan ketujuh itu melibatkan 641 tahanan. 

Antaranya, 151 sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup atau hukuman jangka panjang, 42 dibebaskan di Tebing Barat termasuk Baitulmakdis dan 97 dihantar ke luar negara.

Selain itu, 12 tahanan dari Gaza dipenjarakan sebelum 7 Oktober 2023, manakala 445 lagi ditahan selepas tarikh berkenaan.

Kumpulan itu juga termasuk 45 wanita dan kanak-kanak dari Gaza. 
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita