Skip to main content

Dunia

Kumpulan pelampau Jerman rancang serangan serupa tragedi masjid Christchurch

Para anggota kumpulan pelampau yang berhaluan kanan di Jerman ditangkap sebagai sebahagian daripada siasatan antipengganasan, kerana sedang merancang serangan berskala besar ke atas masjid-masjid seperti tragedi berdarah yang berlaku di sebuah masjid di New Zealand pada tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan pelampau Jerman rancang serangan serupa tragedi masjid Christchurch

Sebuah kenderaan polis di luar sebuah masjid di Berlin, Jerman (Gambar: AFP/John Macdougall)

Diterbitkan : 17 Feb 2020 08:12AM Dikemas Kini : 17 Feb 2020 08:23AM

BERLIN: Para anggota kumpulan pelampau yang berhaluan kanan di Jerman sudah ditangkap sebagai sebahagian daripada siasatan antipengganasan besar-besaran kerana sedang merancang serangan berskala besar ke atas masjid-masjid seperti tragedi berdarah yang berlaku di sebuah masjid di New Zealand pada tahun lalu, lapor pihak media pada Ahad (17 Feb).

Kumpulan itu, yang 12 daripada anggotanya ditahan pada Jumaat, merancang untuk menyerang masjid-masjid semasa waktu solat, menurut majalah Der Spiegel dan akhbar Bild.

Mereka merancang untuk meniru serangan yang dilancarkan di Christchurch, New Zealand di mana 51 jemaah terbunuh di dua masjid dan mereka juga merancang untuk menggunakan senjata separa automatik.

Ketua kumpulan itu yang dikenali oleh pihak berkuasa dan sudah diletakkan di bawah pengawasannya, mengatur serangan tersebut semasa mengadakan mesyuarat dengan rakan-rakan subahatnya minggu lalu.

Para penyiasat mendapat tahu tentang rancangan tersebut melalui seseorang yang berjaya menyusup masuk ke dalam kumpulan itu, menurut laporan kedua-dua penerbitan itu.

Para penyiasat melancarkan serbuan untuk menentukan sama ada suspek-suspek sudah mempunyai senjata atau bekalan lain yang boleh digunakan dalam serangan tersebut.

Pihak berkuasa Jerman sudah mengalihkan tumpuan kepada kumpulan-kumpulan pelampau yang berhaluan kanan sejak tokoh politik konservatif Walter Luebcke mati dibunuh pada Jun lalu dan menyusuli serangan ke atas rumah ibadat kaum Yahudi di bandar timur Halle.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita