Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS, kumpulan hak asasi selar keputusan M'sia hantar pulang pendatang Myanmar

Amerika Syarikat pada Rabu (24 Feb) mengkritik Malaysia kerana menghantar pulang lebih 1,000 warga Myanmar ke negara asal mereka yang sedang diperintah tentera.

Anggaran Waktu Membaca:
AS, kumpulan hak asasi selar keputusan M'sia hantar pulang pendatang Myanmar

Pendatang Myanmar dihantar pulang menaiki kapal tentera laut Myanmar. (Gambar: AFP/Mohd RASFAN)

Diterbitkan : 25 Feb 2021 11:31AM Dikemas Kini : 25 Feb 2021 11:35AM

WASHINGTON: Amerika Syarikat pada Rabu (24 Feb) mengkritik Malaysia kerana menghantar pulang lebih 1,000 warga Myanmar ke negara asal mereka yang sedang diperintah tentera.

Para pendatang itu, yang menurut para aktivis termasuk para pemohon suaka, meninggalkan Malaysia pada Selasa (23 Feb) menaiki kapal tentera laut Myanmar daripada pangkalan tentera Malaysia selang beberapa minggu selepas berlaku rampasan kuasa di negara tersebut.

Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia mengutuk keras rancangan tersebut dan beberapa jam sebelum penghantaran pulang itu dibuat, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan agar ia ditangguhkan buat sementara waktu untuk membolehkan para aktivis membuat tuntutan undang-undang.

Amerika Syarikat, yang di bawah Presiden Joe Biden memperhebatkan usaha untuk membenarkan para pelarian memasuki negara itu dan meningkatkan lagi tekanan untuk membatalkan rampasan kuasa tentera itu, menyatakan ia "bimbang" terhadap langkah Malaysia, yang mana hubungannya dengan Washington amat baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Ned Price berkata tentera di Myanmar yang juga dikenali sebagai Burma, "mempunyai sejarah yang panjang dari segi mencabuli hak asasi manusia ke atas kumpulan-kumpulan agama dan etnik minoriti".

Encik Price berkata Malaysia meneruskan langkahnya "meskipun terdapat perintah mahkamah yang melarang penghantaran pulang (pelarian Myanmar) dan dalam keadaan serba tidak menentu di Burma sejak rampasan kuasa tersebut".

"Kami menggesa semua negara di rantau itu yang sedang menimbangkan untuk menghantar pulang pendatang Burma ke Burma agar menghentikannya sehingga UNHCR dapat menilai sama ada terdapat kebimbangan mengenai perlindungan," Encik Price memberitahu para wartawan di Washington, sambil merujuk kepada agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Para pegawai bagaimanapun tidak memberikan sebarang penjelasan mengapa mereka mengabaikan perintah mahkamah dan tetap menghantar pulang 1,086 pendatang.

"PENGHANTARAN PULANG YANG BERBAHAYA"

Dalam satu kenyataan bersama, empat penggubal undang-undang daripada parti pembangkang mengecam penghantaran pulang "tidak berperi kemanusiaan" dan menyarankan agar para pegawai kerajaan dipertanggungjawabkan atas kesalahan menghina mahkamah kerana tidak menghiraukan perintah.

"Tindakan ini...jelas menunjukkan kerajaan Malaysia tidak menghormati proses mahkamah dan memburukkan Malaysia dari segi hak asasi manusia," kata mereka.

Amnesty International, salah satu kumpulan yang mencabar penghantaran pulang itu, menyatakan kerajaan "mesti memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia mengapa mereka memilih untuk melanggar perintah mahkamah".

"Penghantaran pulang secara berbahaya ini tidak diteliti dengan betul dan meletakkan individu-individu berisiko mengalami bahaya," tegas Pengarah Eksekutif Pejabat Amnesty Malaysia, Katrina Jorene Maliamauv.

Lebih 100 pendatang yang pada awalnya dihantar pulang dipercayai ditinggalkan, tanpa sebarang penjelasan daripada para pegawai.

Semalam (24 Feb), Mahkamah Tinggi memutuskan baki pendatang tidak harus dihantar pulang, sedang NGO-NGO mencabar tindakan penghantaran pulang itu.

Para pegawai imigresen Malaysia bagaimanapun berkeras bahawa tiada anggota masyarakat minoriti Rohingya - yang tidak diiktiraf sebagai rakyat Myanmar - atau mereka yang memohon suaka antara yang dihantar pulang.

Namun kumpulan-kumpulan hak asasi manusia mempersoalkan dakwaan pihak berkuasa itu.

Sejak 2019, pihak berkuasa menyekat UNHCR daripada memasuki pusat-pusat tahanan imigresen. Ini bermakna mereka tidak mengetahui pendatang yang mana satu adalah mereka yang benar-benar diberikan suaka dan perlu dibenarkan kekal di Malaysia.

Jarang sekali bagi NGO untuk mencabar keputusan pihak berkuasa menghantar pulang pendatang namun dalam kes terbaru ini, mereka khususnya bimbang terhadap keadaan yang semakin memburuk di Myanmar.

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan