Kumpulan bertopeng sekat laluan ke Pelabuhan Dover, Britain
Ratusan penunjuk perasaan bertopeng yang membantah kemasukan pendatang menerusi Selat Inggeris menyekat akses ke Pelabuhan Dover di selatan England pada Sabtu (5 Sep), menyebabkan perkhidmatan feri antara Perancis dengan Britain terjejas seketika.
Gambar fail Perdana Menteri Britain Andy Burnham ketika bercakap kepada media pada 2 Ogos 2026. (Gambar fail: REUTERS/Jack Taylor)
- Ratusan penunjuk perasaan bertopeng menyekat akses ke Pelabuhan Dover pada 5 September, membantah kemasukan pendatang melalui Selat Inggeris.
- Tindakan itu menyebabkan gangguan sementara perkhidmatan feri antara Perancis dan Britain, dengan trafik kembali lancar sekitar tengah hari.
- Pemerintah Parti Buruh dan beberapa ahli politik mengecam tunjuk perasaan tersebut, manakala tokoh berhaluan kanan seperti Tommy Robinson menyokongnya.
- Isu pendatang terus menjadi perdebatan politik di Britain, dengan sentimen antipendatang meningkat dan kerjasama dengan Perancis membantu mengurangkan jumlah bot pendatang.
Pelabuhan Dover memaklumkan trafik kembali "lancar" sekitar tengah hari, beberapa jam selepas ia "terhenti" pada pagi Sabtu apabila jalan menuju ke pelabuhan tersebut disekat para penunjuk perasaan.
Polis tempatan memaklumkan tiada tangkapan dibuat dan kumpulan penunjuk perasaan yang pada awalnya menyekat "semua laluan" keluar masuk terminal itu sudah bersurai.
Gambar-gambar yang dikongsi online menunjukkan ratusan individu berpakaian hitam dan memakai penutup muka memenuhi jalan-jalan di sekitar pelabuhan tersebut, yang digunakan feri-feri yang berulang-alik antara selatan England dengan utara Perancis.
Dalam satu siaran langsung online yang dipercayai dirakam oleh salah seorang penunjuk perasaan, sekumpulan lelaki berpakaian hitam melaungkan "hentikan bot" sambil berdiri menghadapi barisan anggota polis.
PULUHAN RIBU PENDATANG TIBA SETIAP TAHUN
Britain berdepan cabaran untuk membendung perjalanan para pendatang yang berbahaya menggunakan bot-bot kecil yang turut menjadi isu politik yang hangat. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, puluhan ribu pendatang tiba setiap tahun di pesisir tenggara England melalui laluan tersebut.
Isu berkenaan terus dimanfaatkan golongan berhaluan kanan tegar di negara tersebut, yang semakin mendapat sokongan di tengah-tengah peningkatan sentimen antipendatang.
Pemerintah Parti Buruh yang berhaluan kiri tengah menyatakan jumlah bot yang membawa pendatang dan pencari suaka merentasi Selat Inggeris pada musim panas ini adalah yang terendah sejak 2019, sebahagiannya hasil perjanjian kerjasamanya dengan pemerintah Perancis.
Seorang jurucakap pemerintah "mengecam" tunjuk perasaan tersebut, manakala seorang Anggota Parlimen daripada parti Reform UK yang berhaluan kanan tegar menyifatkan gangguan tersebut sebagai "memalukan".
Walaupun tiada laporan yang dibuay berhubung keganasan, beberapa ahli politik tempatan mengecam tunjuk perasaan oleh kumpulan bertopeng itu sebagai satu tindakan "mengancam".
Namun, tokoh-tokoh berhaluan kanan ekstrem dan anti-Islam, Tommy Robinson, menyokong tunjuk perasaan itu dengan mengatakan bahawa ia merupakan suatu tindakan "golongan pahwalan Britain yang menjadi amaran kepada pihak berkuasa".
Seorang penumpang yang terjejas akibat gangguan yang disebabkan oleh tunjuk perasaan tersebut memberitahu Sky News bahawa mereka "terkandas di dalam sebuah feri di Dunkirk selama lebih satu setengah jam".
"Hentikan bot? Salah bot!" tambah penumpang yang tidak dinamakan itu.
Pada musim panas, Pelabuhan Dover memaklumkan ia mengendalikan lebih 10,000 kenderaan barangan dan 15,000 kenderaan penumpang setiap hari serta menguruskan satu pertiga daripada perdagangan barangan Britain dengan Kesatuan Eropah (EU).
Ia merupakan pelabuhan feri antarabangsa terbesar di Britain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.