Skip to main content

Dunia

Kuil tidak akan dirobohkan hingga ada huraian

Kuil Sri Maha Mariamman dekat Subang Jaya, Selangor, yang menjadi tumpuan ekoran insiden kekecohan sejak awal pagi Isnin (26 Nov), tidak akan dirobohkan sehingga satu penyelesaian dicapai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Anggaran Waktu Membaca:
Kuil tidak akan dirobohkan hingga ada huraian

Laluan masuk ke kuil Sri Maha Mariamman selepas rusuhan berlaku. (Gambar: Vincent Thian/AP)

Diterbitkan : 27 Nov 2018 09:56PM Dikemas Kini : 27 Nov 2018 10:00PM

SUBANG JAYA/KUALA LUMPUR: Kuil Sri Maha Mariamman dekat Subang Jaya, Selangor, yang menjadi tumpuan ekoran insiden kekecohan sejak awal pagi Isnin (26 Nov), tidak akan dirobohkan sehingga satu penyelesaian dicapai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Satu perbincangan sudah diadakan bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pagi tadi (27 Nov), kata beliau, dan Dr Mahathir menyatakan kebimbangannya mengenai insiden kekecohan itu.

"Perdana Menteri juga telah menyatakan kepada saya yang beliau akan berbincang dengan Menteri Besar Selangor untuk menyelesaikan masalah ini," katanya kepada sidang media selepas melakukan lawatan dan berjumpa dengan komuniti kuil berkenaan.

Encik Waytha Moorthy, yang menjaga portfolio perpaduan nasional, turut memberi jaminan bahawa keluhan pelbagai pihak mengenai penempatan semula lokasi kuil didakwa berusia 147 tahun itu akan dibawa lagi kepada perhatian Dr Mahathir. Beliau juga akan berbincang dengan Peguam Negara, Tommy Thomas, untuk mencari penyelesaian isu perpindaan kuil itu.

Kejadian yang bermula awal pagi Isnin dan awal pagi ini melibatkan pergaduhan dua kumpulan dan terdapat perusuh yang membakar 23 kenderaan serta merosakkan kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta mencederakan seorang anggota bomba.

Anggota bomba tersebut, Muhammad Adib, 24, kini berada dalam keadaan kritikal dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya.

Ekoran kejadian itu, polis dilaporkan menahan 21 individu bagi membantu siasatan insiden tersebut.

RUSUHAN KEJADIAN JENAYAH, BUKAN PERKAUMAN

Dr Mahathir dalam pada itu menekankan bahawa kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman adalah berunsur jenayah dan mereka yang terbabit akan dikenakan tindakan tegas.

Perdana Menteri menjelaskan tidak timbul sama sekali isu perkauman mahupun isu agama berhubung rusuhan d kuil tersebut semalam, sebaliknya ia berkaitan pemindahah kuil itu.

Oleh kerana insiden itu berkaitan jenayah, beliau berkata, pihak polis diarah untuk mengambil tindakan lanjut bagi menangani serta mengawal situasi berkenaan dengan segera.

Beliau berkata amat jelas daripada siasatan awal bahawa kejadian pertama yang berlaku pada awal Isnin mempunyai unsur jenayah, begitu juga kejadian susulan yang melibatkan kerosakan harta benda serta kecederaan kepada anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan menurut beliau kesal dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh penjenayah yang menimbulkan kekacauan di kawasan kuil selain mencederakan anggota pasukan keselamatan serta anggota penyelamat dalam rusuhan itu.

Dr Mahathir menegaskan penjenayah yang terbabit cuba melakukan rusuhan serta mencederakan anggota keselamatan dan penyelamat termasuk merosakkan harta benda awam akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang.

"Jika ada dalang di sebalik kejadian ini, mereka juga tidak akan terlepas daripada menerima hukuman sewajarnya," menurut pemimpin veteran itu yang menambah bahawa beliau mengikuti perkembangan insiden tersebut.

“Kerajaan menasihati orang ramai agar tidak mendengar khabar angin serta tidak menyebarkan mesej yang tidak bertanggungjawab menerusi mana-mana media sosial."

Polis setakat ini menahan 21 orang yang terlibat dengan kekecohan di kuil yang bermula awal pagi Isnin, diikuti oleh satu lagi insiden awal pagi ini. Dalam kejadian itu, 23 kenderaan dibakar manakala cermin sebuah pusat beli-belah turut dipecah dan dirosakkan. 

Sumber : Bernama/DY/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita