Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kucing jalanan Malaysia dinobat juara dunia

Anggaran Waktu Membaca:
Kucing jalanan Malaysia dinobat juara dunia

Gambar: Shaharuddin Shuib

Diterbitkan : 09 Nov 2024 10:00AM Dikemas Kini : 09 Nov 2024 10:03AM
KUALA LUMPUR: Seekor kucing jalanan bernama Baby milik pasangan suami isteri, Shaharudin Shuib dan Rooaida Mohd Darus berjaya mencuri perhatian dunia apabila dinobatkan sebagai juara dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa yang diadakan di Oslo, Norway pada Ahad lalu (3 Nov).

Kucing betina berusia sembilan tahun itu yang mewakili Malaysia berjaya memikat hati juri dengan kejinakan, ketenangan, dan sifat manja yang ditonjolkannya sepanjang penilaian.

Baby mengalahkan ribuan pesaing lain dari seluruh dunia untuk meraih gelaran juara dalam pertunjukan anjuran Persekutuan Kucing Antarabangsa (Fife) itu, lapor agensi berita BH Online.

Menurut Cik Rooaida, Baby hanyalah kucing baka biasa yang diambil dari jalanan dan dipeliharannya sehingga kini.

"Baby telah diberi pendedahan dan latihan sejak awal untuk berinteraksi di khalayak ramai, termasuk menyertai pelbagai pertunjukan kucing tempatan.

"Saya dan suami kerap membawa Baby menyertai pertunjukan dalam negara supaya dia lebih terbiasa dengan persekitaran ramai. Ini membantu memupuk sifat manja dan jinak dalam diri Baby," katanya ketika dihubungi BH Online.

Tambahnya, penyertaan kali kedua itu ternyata berbaloi apabila juri tertarik dengan keunikan Baby dan aspek-aspek lain yang memenuhi piawaian pemarkahan.

"Ini adalah penghargaan terbaik diterimanya kerana Baby perlu bersaing dengan 1,500 ekor kucing lain yang turut menyertai pertunjukan itu.

"Bulu Baby yang cantik serta dandanan rapi disempurnakan sendiri Shaharudin turut menjadi faktor penarik kepada para juri dan penonton," katanya, dipetik daripada BH Online.

Menurutnya, meskipun hanya kucing jalanan tanpa baka istimewa, perwatakan unik Baby memenuhi kriteria pemarkahan yang ketat.

Lebih istimewa, Baby turut bersaing dalam pusingan akhir pertandingan bagi merebut gelaran juara mutlak dengan seekor lagi kucing jantan bernama Miko, yang juga dimiliki pasangan itu.

Selain Baby, Malaysia turut menghantar lapan ekor kucing lain, termasuk empat kucing baka British Shorthair, tiga kucing jalanan, dan seekor kucing Bengal.

Setiausaha Agong Kelab Kucing Malaysia (KKM) Muhammad Hasbullah Ibrahim berkata acara tahunan berprestij ini bertujuan menggalakkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk menyayangi haiwan peliharaan dan memeliharanya dengan lebih baik.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan