Kubur besar dipercayai mengandungi mayat pendatang ditemui di Malaysia
Kubur besar yang dipercayai mengandungi mayat kira-kira 100 pendatang Rohingya ditemui di Padang Besar, Perlis.
KUALA LUMPUR: Polis Malaysia menemui kubur besar yang dipercayai mengandungi mayat pendatang tanpa izin di negeri Perlis dekat sempadan Thailand.
The Star melaporkan hari ini (24 Mei) bahawa kubur besar yang dipercayai mengandungi mayat kira-kira 100 pendatang Rohingya, ditemui di Padang Besar.
Menteri Ehwal Dalam Negeri Malaysia, Zahid Hamidi ditukil The Star, sebagai berkata kubur tersebut ditemui di kawasan kem-kem tahanan yang dikendalikan penyeludup pendatang asing.
Encik Zahid berkata: "Hari ini Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara sedang berada di sempadan Malaysia dan Thailand untuk melakukan pengecaman dan pengesahan kubur-kubur yang telah dikenal pasti oleh pihak VAT 69 dan juga PGA sebagai kubur-kubur kepada pelarian-pelarian dalam usaha pemerdagangan manusia."
Lokasinya di tapak berbukit, dan kawasan itu tidak mudah ditembusi orang ramai, menurut The Star yang memetik seorang pegawai polis dari ibu pejabat Padang Besar.
Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar dijangka mengadakan sidang akhbar pada hari Isnin (25 Mei), tambah The Star.
Pada pertengahan bulan ini, sebanyak 30 kubur besar ditemui dalam hutan di Padang Besar dan Wang Kelian di Perlis. Ini dilaporkan oleh The Malay Mail Online, yang memetik akhbar Mingguan Malaysia.
Kubur-kubur itu dipercayai berkaitan dengan kubur yang sebelum ini ditemui di Songkhla, Thailand, menurut akhbar tersebut.
Pihak berkuasa Thailand telah menggali semula 26 mayat, yang kemungkinan mayat pendatang dari Bangladesh dan Myanmar, dari kubur-kubur di Songkhla, tambah The Malay Mail Online.
Sementara itu Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Lim Guan Eng mengatakan pendatang tanpa izin sepatutnya ditempatkan di tanah persekutuan.
Encik Lim Guan Eng berkata wilayah tersebut kekurangan kawasan untuk menempatkan 50,000 pendatang Rohingya yang tiba di Pulau Pinang sepanjang enam tahun lalu.
Sejak beberapa minggu lalu, lebih 1,000 pendatang telah mendarat di pulau Langkawi, di utara Pulau Pinang.
Lebih ramai dijangka tiba selepas kerajaan persekutuan bersetuju untuk menerima masuk beribu-ribu pendatang yang terkandas di laut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.