Kuala Lumpur diiktiraf bandar ke-12 terbaik untuk pelajar, SG di tangga ke-11
Kuala Lumpur kini menduduki tangga ke-12 bagi bandar terbaik bagi pelajar seantero dunia, menurut Senarai Bandar Pelajar Terbaik QS 2026 yang dikeluarkan pada Selasa (15 Jul).
Demikian menurut laporan Malay Mail.
Ini merupakan pencapaian tertinggi bagi ibu kota Malaysia itu sejak indeks tersebut diperkenalkan pada 2014. Ia juga merupakan kali pertama Kuala Lumpur berjaya menembusi kelompok 20 bandar terbaik.
Dengan markah keseluruhan 90.3, Kuala Lumpur muncul sebagai bandar kedua terbaik di Asia Tenggara dalam senarai itu, hanya satu anak tangga di belakang Singapura yang berada di kedudukan ke-11.
Di peringkat Asia, Kuala Lumpur berada di tempat keempat, mengatasi bandar-bandar utama seperti Beijing (13), Taipei (14) dan Hong Kong (17).
“Peningkatan berterusan ini, yang berlaku hampir setiap tahun sejak 2016, menunjukkan usaha berterusan bandar ini dalam meletakkan dirinya sebagai destinasi pengajian global utama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif QS, Jessica Turner, dalam satu kenyataan pada Selasa, seperti yang ditukil Malay Mail.
Pertubuhan tersebut menyenaraikan bandar-bandar dengan populasi sekurang-kurangnya 250,000 orang dan mempunyai sekurang-kurangnya dua universiti yang dimasukkan ke dalam Senarai Universiti Dunia QS.
Kajian itu, yang dijalankan dalam kalangan pelajar berpotensi dan bekas pelajar, meliputi enam kategori utama: daya tarikan, kemampuan, kerencaman pelajar, aktiviti majikan, kedudukan universiti dan suara pelajar.
Berdasarkan laporan Maiay Mail, prestasi terlemah Kuala Lumpur adalah dalam kategori Daya Tarikan, meskipun naik lapan anak tangga berbanding edisi sebelumnya untuk menduduki tempat ke-81 dalam penarafan terkini.
Kuala Lumpur juga turun sembilan anak tangga dalam kategori Kemampuan berbanding tahun lalu, dan jatuh dua anak tangga dalam kategori Suara Pelajar.
Sementara Kuala Lumpur menunjukkan prestasi yang semakin meningkat, ibu negeri Selangor, Shah Alam, merosot 21 anak tangga ke kedudukan ke-144 selepas mencatatkan penurunan dalam lima daripada enam kategori yang dinilai.
Di peringkat global pula, ibu kota Korea Selatan, Seoul, merampas kedudukan teratas daripada London sebagai bandar pelajar yang terbaik di dunia, manakala ibu kota Jepun, Tokyo, menduduki tempat kedua.
London, yang sebelum ini berada di tempat pertama selama enam tahun berturut-turut, turun ke tempat ketiga, sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan 11 anak tangga dalam kategori Kemampuan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.