KTMB sediakan lebih 180 kereta api tambahan sempena Aidiladha, cuti sekolah
Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan sejumlah 186 tren tambahan, melibatkan Perkhidmatan Kereta api Elektrik (ETS) dan EMU Plus sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan musim cuti persekolahan dari 22 Mei hingga 7 Jun.
Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan sejumlah 186 tren tambahan sempena Hari Raya Aidiladha dan musim cuti sekolah. (Gambar: KTMB)
KTMB dalam kenyataannya pada Jumaat (8 Mei) memaklumkan penyediaan tren tambahan itu melibatkan kapasiti berjumlah 58,380 tempat duduk, untuk menampung peningkatan permintaan penumpang sepanjang tempoh perayaan dan cuti sekolah.
Tiket untuk perkhidmatan tren tambahan itu akan mula dijual pada pukul 12.00 tengah hari esok (9 Mei) menerusi aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB serta kiosk tiket KTMB di stesen terpilih, menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 15,072 tiket ditawarkan bagi laluan KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral, melibatkan perjalanan bermula 22-26 Mei, 29-31 Mei serta 4-7 Jun, manakala 7,584 tiket disediakan masing-masing bagi laluan KL Sentral-Butterworth-KL Sentral dan KL Sentral-Ipoh-KL Sentral untuk tempoh sama.
Bagi laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral, sebanyak 18,960 tiket ditawarkan melibatkan perjalanan 22-26 Mei, 29-31 Mei serta 1-7 Jun, selain 9,180 tiket EMU Plus laluan Klang-Ipoh-Klang menerusi perkhidmatan EMU Plus bagi perjalanan 22-24 Mei, 29-31 Mei serta 5-7 Jun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Azlan Shah Al Bakri berkata sambutan orang ramai terhadap perkhidmatan tren tambahan yang disediakan sebelum ini, amat menggalakkan semasa Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri lalu, khususnya bagi laluan dengan permintaan tinggi seperti sektor Johor Bahru.
Beliau berkata inisiatif kerajaan menerusi kempen Road to Rail turut memberi impak positif, dalam menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam, khususnya perkhidmatan kereta api yang lebih selamat, selesa dan cekap.
“Peningkatan permintaan ini mencerminkan keyakinan penumpang yang semakin tinggi terhadap mutu perkhidmatan rel negara,” kata beliau.
Sementara itu, KTMB menyatakan jualan tiket tren khas Ekspres Lambaian Aidiladha (ELA) ke Pantai Timur yang diumumkan pada 24 April bagi memenuhi keperluan rakyat pulang ke kampung halaman, menerima sambutan positif. Sebanyak 447 daripada 912 tiket yang ditawarkan sudah berjaya dijual setakat ini.
KTMB turut menawarkan diskaun 30 peratus bagi tren ELA 1029 dari Tumpat ke KL Sentral untuk kategori tempat duduk Superior Seater melibatkan 274 tempat duduk terhad mulai 11 Mei, dengan harga tiket serendah RM56 (S$18.12) berbanding tambang asal RM80 (S$25.88).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.