Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Krisis UMNO bertambah buruk: 31 anggota UMNO Langkawi keluar parti

Mantan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Mohd Rawi Abd Hamid, bersama 30 pemimpin UMNO peringkat cawangan dan bahagian Langkawi mengumumkan keluar daripada parti itu hari ini (20 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Krisis UMNO bertambah buruk: 31 anggota UMNO Langkawi keluar parti

Majlis pembukaan Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur pada 7 Disember 2017. (Gambar: Choon Hiam/AP)

Diterbitkan : 20 Dec 2018 11:10PM Dikemas Kini : 20 Dec 2018 11:14PM

ALOR SETAR: Mantan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Mohd Rawi Abd Hamid, bersama 30 pemimpin UMNO peringkat cawangan dan bahagian Langkawi mengumumkan keluar daripada parti itu hari ini (20 Dis).

Dalam sidang media hari ini (20 Dis), Encik Mohd Rawi berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan landskap politik semasa dan beliau kini mahu membantu kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) memakmurkan negara.

"Walaupun sayangkan parti, tetapi saya ambil keputusan untuk keluar UMNO dan sertai parti lain di bawah PH dalam usaha untuk terus bantu menjamin kemakmuran sedia ada di bawah kepimpinan kerajaan sekarang. Mungkin kita boleh bantu mereka (kerajaan sekarang) mana-mana yang lompong sekarang.

"Ada dakwaan kata kami keluar UMNO dan masuk parti lain sebab dapat wang tetapi saya hendak maklumkan di sini, kita masuk parti lain tidak diberikan jawatan dan tidak ada wang yang ditawarkan," katanya kepada para wartawan.

Encik Mohd Rawi berkata beliau akan mengumumkan keputusannya untuk menyertai parti mana dalam PH dua minggu lagi, manakala anggota lain yang keluar hari ini akan membuat keputusan mereka kemudian.

Encik Mohd Rawi, yang juga mantan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), mendakwa sehingga kini, lebih 50 peratus daripada 17,000 anggota UMNO di Langkawi sudah keluar daripada parti tersebut. Namun, jumlah sebenar tidak dapat dipastikan berikutan tiada proses pemutihan yang dilakukan.

UMNO kini berdepan dengan keadaan huru-hara setelah anggota-anggota kanan mengundurkan diri daripada parti tersebut.

Pada 12 Disember, belasan anggota parlimen dan dewan undangan negeri UMNO Sabah keluar parti. Mereka juga mengikrarkan sokongan kepada kerajaan PH dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Dua hari kemudian, enam anggota parlimen UMNO di semenanjung Malaysia melakukan yang sama.

Selepas berhari-hari menentang gesaan para anggota parti supaya meletakkan jawatan, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi akhirnya menyerahkan tugasnya kepada Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Hasan, pada Selasa (18 Dis).

Encik Mohamad, yang dikenali sebagai Mat Hassan, hari ini (20 Dis) dilantik sebagai Pemangku Presiden UMNO.

Sesetengah ahli politik UMNO sebelum ini sudah melahirkan hasrat untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin Dr Mahathir. 

Sumber : Bernama/CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan