Skip to main content

Dunia

Krisis tenaga jadi tumpuan utama sedang pemimpin ASEAN mulakan sidang puncak

Anggaran Waktu Membaca:
Krisis tenaga jadi tumpuan utama sedang pemimpin ASEAN mulakan sidang puncak

Bendera ASEAN diletakkan bersama bendera negara-negara anggotanya pada 17 Januari 2025. (Gambar fail: REUTERS/Hasnoor Hussain)

Diterbitkan : 07 May 2026 12:02PM Dikemas Kini : 07 May 2026 12:03PM
FILIPINA: Konflik yang berlaku jauh dari Asia Tenggara dijangka menguasai perbincangan pemimpin-pemimpin ASEAN yang bermesyuarat di Filipina.

Krisis di Timur Tengah kini menjadi cabaran besar buat negara-negara serantau yang sangat bergantung kepada import bahan api.

Mesyuarat yang berlangsung di Pulau Cebu pada Khamis dan Jumaat ini melibatkan para pemimpin serta menteri luar dan ekonomi daripada 11 negara anggota. Jaminan bekalan tenaga dan makanan menjadi keutamaan bagi rantau yang mempunyai hampir 700 juta penduduk ini.

Konflik Timur Tengah menyebabkan banyak negara Asia terpaksa mencari sumber minyak alternatif. Menteri-menteri ASEAN mengadakan mesyuarat khas sebelum sidang puncak bermula, dan Filipina berharap satu perjanjian rangka kerja perkongsian minyak dapat disahkan.

"Krisis yang berterusan di Timur Tengah dan kesannya yang luas - termasuk gangguan aliran tenaga, laluan perdagangan, rantaian bekalan makanan dan kebajikan rakyat kita -mengingatkan kita bahawa perkembangan di luar rantau boleh memberi kesan segera dan mendalam kepada ASEAN," kata Setiausaha Ehwal Luar Filipina, Ma. Theresa Lazaro, semasa membuka mesyuarat pada Khamis (7 Mei).

Beliau menambah ASEAN perlu mengukuhkan penyelarasan dan kesiapsiagaan institusi ketika menghadapi krisis.

TINDAKAN LEBIH PENTING DARIPADA KATA-KATA

Diplomat dan penganalisis berkata isu ini akan menguji kepimpinan Filipina sebagai pengerusi. Mereka perlu menyelaraskan tindak balas serantau sambil memastikan konflik dalaman ASEAN sendiri - seperti perang saudara di Myanmar dan pertikaian sempadan antara Thailand dengan Kemboja yang masih belum selesai - tidak diabaikan.

Penganalisis geopolitik, Don McLain Gill, berkata usaha untuk mengurangkan kesan ekonomi mungkin akan menjadi lebih penting berbanding isu-isu serantau yang lain buat masa ini. Walaupun isu Myanmar dan Laut China Selatan akan tetap dibincangkan, beliau berpendapat sukar untuk melihat sebarang kejayaan besar dalam isu tersebut buat masa ini.

ASEAN, yang mempunyai gabungan ekonomi bernilai kira-kira $3.8 trilion (S$4.8 trilion), sering bergelut untuk menyelaraskan tindakan terhadap krisis. Mesyuarat biasanya berakhir dengan persetujuan untuk bekerjasama tanpa strategi yang jelas atau komitmen yang nyata.

Bagaimanapun, mantan diplomat Filipina, Laura del Rosario, berpendapat gangguan bekalan tenaga adalah isu besar yang tidak boleh dielakkan oleh mana-mana negara ASEAN, dan ini mungkin akan memaksa mereka mengambil tindakan sebenar berbanding sekadar berbincang.

Konflik ini juga menonjolkan persaingan antara Amerika Syarikat dengan China di Asia Tenggara. Penganalisis berkata, ketika Washington sibuk dengan peperangan di tempat lain, Beijing meletakkan dirinya sebagai rakan kongsi yang lebih boleh diharapkan.

MYANMAR MAHU KEMBALI BERHUBUNG

Satu lagi isu yang akan dibincangkan adalah krisis di Myanmar. Pemerintah baharunya kini diketuai pihak awam, walaupun disokong tentera, berminat untuk kembali berhubung dengan ASEAN.

ASEAN sebelum ini tidak mengiktiraf pilihan raya Myanmar dan belum menetapkan bila pemimpin Myanmar boleh kembali ke sidang puncaknya selepas lima tahun diketepikan.

Pemerintah Myanmar mungkin perlu meyakinkan negara-negara ASEAN bahawa mereka ikhlas untuk menghentikan peperangan dan berdialog dengan kumpulan pemberontak. Ini termasuk langkah baru-baru ini seperti pemberian pengampunan dan pengurangan hukuman serta pemindahan pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, ke tahanan dalam rumah.

Selain itu, pemimpin ASEAN dijangka akan mengulangi gesaan untuk menyiapkan kod tata kelakuan (COC) di Laut China Selatan bersama Beijing menjelang sasaran tahun 2026.

Ini walaupun usaha itu agak mencabar disebabkan tuntutan berbilang pihak dan hubungan ekonomi yang kuat dengan China.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita