Skip to main content

Dunia

Krisis sempadan, banjir besar dan peralihan politik uji tadbir urus Thailand jelang pilihan raya

Daripada ketegangan sempadan dan peralihan politik kepada bencana alam serta ekonomi yang rapuh, tahun 2025 di Thailand menyaksikan rentetan krisis yang menguji tadbir urus, ketahanan institusi dan keupayaan pengurusan krisis negara itu.
Anggaran Waktu Membaca:
Krisis sempadan, banjir besar dan peralihan politik uji tadbir urus Thailand jelang pilihan raya
Cabaran yang dihadapi Thailand semakin meningkat menyusuli banjir besar yang melanda wilayah utara, timur laut dan selatan negara itu. (Gambar fail: REUTERS)
BANGKOK: Daripada ketegangan sempadan dan peralihan politik kepada bencana alam serta ekonomi yang rapuh, tahun 2025 di Thailand menyaksikan rentetan krisis yang menguji tadbir urus, ketahanan institusi dan keupayaan pengurusan krisis negara itu.

Tahun ini bermula dengan sifat optimis yang berhati-hati terhadap pembaharuan tadbir urus dan ekonomi, namun dikejutkan pada 28 Mac apabila gempa bumi kuat melanda negara jiran Myanmar, dengan gegaran dirasai sehingga ke Bangkok.

Gempa itu mengakibatkan runtuhan tapak binaan di ibu pejabat baharu Pejabat Audit Negara di daerah Chatuchak, Bangkok meragut lebih 90 nyawa. 

Tragedi itu mendorong semakan menyeluruh terhadap piawaian keselamatan bangunan dan kesiapsiagaan bencana di peringkat nasional, sekali gus menonjolkan pendedahan Thailand kepada risiko seismik dan cabaran keselamatan bandar yang lebih luas.

Momentum ekonomi kekal perlahan sepanjang tahun, dibebani eksport yang lemah, penggunaan domestik yang sederhana serta ketidaktentuan luaran yang berterusan. 

Sebagai tindak balas, kerajaan melaksanakan langkah fiskal termasuk skim pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana bagi menyokong pertumbuhan dan menstabilkan keyakinan.

Ketika tekanan domestik meningkat, Thailand turut berdepan ketegangan sempadan dengan negara jiran Kemboja pada 28 Mei, sebelum pertempuran tercetus pada 24 Julai, sekali gus meningkatkan kebimbangan serantau dan menambah tekanan terhadap persekitaran politik serta keselamatan.

Thailand dan Kemboja kemudian bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat menyusuli mesyuarat khas yang dipengerusikan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim di Putrajaya pada 28 Julai. 

Usaha meredakan ketegangan memuncak pada Oktober dengan pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur bagi memulihkan kestabilan di sempadan yang dipertikaikan.

Bagaimanapun, ketenangan rapuh itu sukar dipertahankan. Thailand menggantung penyertaannya dalam Perjanjian Damai tersebut pada November selepas beberapa anggota tenteranya cedera akibat periuk api di sepanjang sempadan.

Ketegangan sempadan kembali memuncak bermula 7 Disember, dengan laporan serangan berbalas-balas tembakan ketenteraan berlaku dan serangan udara yang mengorbankan puluhan orang melibatkan kedua-dua pihak, menurut laporan media.

Usaha diplomatik untuk mengelakkan peningkatan lanjut terus dijalankan, termasuk mesyuarat menteri-menteri luar Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 Disember, yang menurut Encik Anwar bertujuan meredakan ketegangan dan menstabilkan keadaan di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja.

Cabaran Thailand semakin meningkat pada November apabila banjir besar melanda wilayah utara, timur laut dan selatan, meragut lebih 160 nyawa, menjejas berjuta-juta isi rumah serta mengganggu rangkaian pengangkutan, di samping memberi kesan besar kepada sektor pertanian dan perniagaan kecil.

Di selatan Thailand, banjir yang melanda Hat Yai, Songkhla dan kawasan sekitarnya menyebabkan jalan raya serta hotel ditenggelami air, sekali gus memberi kesan negatif kepada sektor pelancongan pada musim sibuk.

Banjir itu menonjolkan kesan risiko berkaitan iklim yang semakin meningkat, menekan keupayaan tindak balas bencana dan menjejas sasaran kerajaan untuk mencatat 39 juta ketibaan pelancong antarabangsa pada 2025, sekali gus membebankan pemulihan ekonomi.

Di tengah-tengah tekanan tersebut, landskap politik Thailand turut berubah secara mendadak pada 29 Ogos apabila Mahkamah Perlembagaan menyingkirkan Cik Paetongtarn Shinawatra daripada jawatan Perdana Menteri atas pelanggaran etika berkaitan pengendaliannya terhadap pertikaian sempadan dengan Kemboja.

Encik Anutin kemudian dilantik sebagai perdana menteri ke-32 negara itu.

Dalam tempoh tiga bulan pertama memegang jawatan, pemimpin Parti Bhumjaithai itu mengumumkan pembubaran parlimen, membuka laluan kepada pilihan raya umum.

Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand menetapkan 8 Februari 2026 sebagai hari mengundi bagi Ahli Dewan Perwakilan, dengan 1 Februari ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

Thailand turut melalui tempoh berkabung negara pada 24 Oktober, selepas mantan Ratu Thailand Sirikit meninggal dunia pada usia 93 tahun, dengan kerajaan mengisytiharkan tempoh berkabung selama setahun bagi penjawat awam.

Selepas tahun yang bergolak, usaha untuk memulihkan keyakinan pelabur dan pelancong, membangunkan semula masyarakat terjejas banjir serta mencegah peningkatan ketegangan sempadan akan menguji keupayaan kerajaan seterusnya untuk mentadbir secara berkesan.

Sedang Thailand melangkah ke 2026, keputusan pilihan raya umum akan menjadi penentu utama dalam membentuk kestabilan politik dan hala tuju ekonomi negara tersebut.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita