Skip to main content

Dunia

Krisis Lubnan memburuk selepas gagal capai kata sepakat bentuk pemerintah baru

Krisis kewangan Lubnan semakin bertambah buruk pada Isnin (22 Mac) setelah bakal Perdana Menteri Saad al-Hariri secara terbuka menolak Presiden Michel Aoun, dengan menuduh beliau mahu menentukan anggota kabinetnya sendiri dan memberikan kuasa veto kepada sekutu-sekutu politiknya.

Anggaran Waktu Membaca:
Krisis Lubnan memburuk selepas gagal capai kata sepakat bentuk pemerintah baru

Encik Saad al-Hariri berucap setelah Bakal PM Lubnan Saad al-Hariri berucap setelah rundingan dengan Presiden Michel Aoun pada 22 Mac 2021. (Gambar: REUTERS/Mohamed Azakir)

Diterbitkan : 23 Mar 2021 01:13PM Dikemas Kini : 23 Mar 2021 01:19PM

BEIRUT: Krisis kewangan Lubnan semakin bertambah buruk pada Isnin (22 Mac) setelah bakal Perdana Menteri Saad al-Hariri secara terbuka menolak Presiden Michel Aoun, dengan menuduh beliau mahu menentukan anggota kabinetnya sendiri dan memberikan kuasa veto kepada sekutu-sekutu politiknya.

Selepas lebih 12 mesyuarat diadakan dengan presiden untuk membentuk kabinet baru, Encik Hariri menyifatkan permintaan Aoun sebagai "tidak dapat diterima sama sekali". Pengumuman Encik Hariri yang disiarkan di televisyen itu melenyapkan harapan untuk menamatkan kebuntuan politik selama lima bulan antara kedua-dua tokoh politik itu.

"Ini adalah satu malapetaka bagi negara kita, kita cuba berikhtiar sebaik mungkin sedang ekonomi di ambang kehancuran," menurut seorang pegawai kepada Reuters, yang tidak mahu mendedahkan identitinya disebabkan oleh sensitiviti isu tersebut.

Lubnan tidak mempunyai pemerintah sejak berlaku letupan bahan kimia pada 4 Ogos tahun lalu yang memusnahkan pelabuhan Beirut dan meranapkan kawasan pusat bandar di ibu kotanya, meragut nyawa beratus-ratus orang, di samping mencederakan ribuan yang lain dan menyebabkan 300,000 kehilangan tempat tinggal.

Letupan dahsyat itu memburukkan lagi ekonomi yang dibebani dalam krisis hutang, perbankan, kewangan dan fiskal, sedang penderma asing enggan menyelamatkan Lubnan sehingga negara itu membentuk pemerintah yang komited untuk membawa perubahan.

Dalam kenyataan yang dibaca oleh jurucakap presiden, Encik Aoun berkata bahawa beliau "terkejut" dengan komen Encik Hariri.

Sementara itu, Mohanad Age Ali dari Pusat Timur Tengah Carnegie, berkata: "Kebuntuan dan kesuraman masa depan sekarang tentunya akan menjejas kadar pertukaran mata wang, menjadikannya lebih sukar bagi pekerja biasa untuk menyara hidup tanpa bantuan makanan".

Krisis ekonomi Lubnan, yang merupakan ancaman terbesar kepada kestabilannya sejak perang saudara 1975-1990, menyaksikan mata wang Lubnan menjunam hampir 90 peratus, menjerumuskan ramai orang ke dalam kancah kemiskinan.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita